Monday, May 3, 2010

Titah Penuh DYMM Sultan Selangor Berkaitan Pengurusan Masjid




PEMBERITAHUAN

Menjunjung Titah Perintah
Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhajyang menitah dan mengingatkan kepada pegawai masjid dan Jawatankuasa Kariah Masjid bahawa:


1. Pemegang Amanah Tunggal
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hendaklah menjadi pemegang
amanah tunggal bagi semua masjid dalam negeri Selangor.
Seksyen 96 (1), Enakmen Pentadbiran Agama Islam
(Negeri Selangor) 2003


2. Penggunaan Masjid
Masjid-masjid di negeri Selangor hendaklah digunakan sebagai:
a. Tempat untuk orang-orang Islam beribadat, terutamanya
untuk mendirikan solat fardhu lima waktu dan solat Jumaat;
b. Pusat kegiatan agama Islam dan penyebaran dakwah; dan
c. Pusat sumber maklumat penduduk dan maklumat tentang
MAIS dan maklumat lain.

Masjid tidak boleh digunakan sebagai:
a. Gelanggang politik yang boleh menyakiti dan
memecahbelahkan perpaduan ummah
b. Hotel, rumah tumpangan atau tempat penginapan.

Kaedah 34 (1) dan (2), Kaedah-Kaedah Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Kariah (Negeri Selangor) (Pindaan) 2001


3. Tauliah Ceramah Dan Mengajar
Penceramah di masjid-masjid hendaklah mempunyai tauliah dan mana-mana orang yang mengajar tentang Agama Islam atau perkara-perkara tentang Agama Islam tanpa tauliah yang diberikan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 119 (1), Enakmen Pentadbiran Agama Islam
(Negeri Selangor) 2003


4. Menjaga adab-adab semasa di dalam masjid seperti:
a. Solat Tahiyatul Masjid dan Niat Iktikaf
b. Sentiasa menyebut nama Allah
c. Menghentikan percakapan berunsur cacian,
memfitnah, menyakiti hati dan menghina Islam

5. Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Kariah
a. Setiap masjid hendaklah ditadbirkan oleh pegawai masjid
dan suatu Jawatankuasa Kariah
Kaedah 6 (1), Kaedah-kaedah Pegawai Masjid dan Jawatankuasa
Kariah (Negeri Selangor) (Pindaan) 2001


b. Nazir sesuatu masjid hendaklah mengetuai pengurusan
dan pentadbiran masjid
Kaedah 15 (a), Kaedah-kaedah Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Kariah (Negeri Selangor) (Pindaan) 2001

c. Dalam melaksanakan tugasnya, pegawai masjid dan
Jawatankuasa Kariah hendaklah tertakluk kepada kawalan
dan arahan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Seksyen 103, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003
Kaedah 6 (4), Kaedah-kaedah Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Kariah (Negeri Selangor) (Pindaan) 2001


6. Menghina Pihak Berkuasa Agama
Mana-mana orang yang bertindak dengan cara yang menghina
kuasa yang sah, atau mengingkari, melanggar, atau
mempertikaikan perintah atau arahan –
a. Duli Yang Maha Mulia Sultan atas sifat Baginda
sebagai Ketua Agama Islam;
b. Majlis Agama Islam Selangor (MAIS);
c. Mufti, yang dinyatakan atau diberikan fatwa,


adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Seksyen 12 (a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995


“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor turut menitah dan berpesan kepada semua orang Islam khususnya orang Melayu sentiasa mengeratkan perpaduan dan persefahaman”


Sebarang aduan sila hubungi:
Hotline: 1-800-88-2424 (Penguatkuasa JAIS)
SMS: 019-6565 400/019-6565 400
Email: mail@mais.gov.my
Laman web: www.mais.gov.my
18 September 2009
28 Ramadhan 1430H



PENGERUSI
MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR

DATO' SERI UTAMA DIRAJA
MUFTI SELANGOR

PENGARAH
JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR

sumber : http://www.mais.net.my

No comments:

Post a Comment