Thursday, May 13, 2010

Takzirah: Menghalang fungsi masjid bererti meruntuh masjid



Firman Allah S.W.T dalam ayat 114 Surah Al-Baqarah bermaksud: "Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalang daripada menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut / mengingati nama Allah di dalamnya, dan dia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar."

Para mufassirun atau ulama-ulama tafsir khilaf (berselisih pendapat) dalam menyatakan sebab nuzulnya atau sebab turunnya ayat 114 surah al-Baqarah di atas.

Mengikut riwayat al-Kalbi daripada Ibnu Abbas katanya, ayat ini bersempena dengan serangan Putlos iaitu seorang Maharaja Rom ke atas Masjid Al-Aqsa, lalu masjid itu dirobohkan.

Mengikut satu riwayat yang lain daripada Qatadah, sebab turun ayat ini bersempena dengan serangan Bakhtanuso ke atas masjid tersebut di mana rumah Allah itu dibakar hangus.

Mengikut riwayat Ibnu Abbas dalam satu riwayat yang lain, ayat ini bersempena dengan tindakan yang dilakukan oleh orang-orang kafir Makkah yang menghalangi Nabi Muhammad s.a.w. bersembahyang dan mengajar agama di masjid Makkah.

Walaupun ayat ini sebab nuzulnya ada tetapi mengikut kaedah hukum yang berdasarkan kepada Usul Tafsir iaitu pengajaran itu diambil daripada lafaznya yang umum, bukan daripada sebabnya yang khusus.

Yang dimaksudkan dengan mengingati Allah di sini seperti yang dinyatakan oleh as-Syawkani dan beberapa mufassirun (ahli-ahli tafsir), termasuk di dalamnya bersembahyang, membaca al-Quran, berzikir, menghalang orang mengajar dan belajar agama di dalam masjid termasuk di dalam ayat ini.

As-Syawkani mengatakan, "dan dikehendaki menegah masjid bahawa disebut nama Allah padanya, Allah mencegah perkara yang berlaku padanya termasuk sembahyang, membaca al-Quran berzikir dan mengajar.

Dikehendaki dengan meruntuhkan masjid itu bukan dengan makna merobohkan bangunannyasahaja, tetapi juga berusaha untuk meruntuhkan tujuan-tujuan masjid itu dibina kerananya, umapamanya mengganggu ketaatan-ketaatan yang dilakukan padanya yang didasarkan masjid ke atasnya, merupakan suatu yang umum."

Berdasarkan kepada apa yang dilakukan oleh Abu Jahal kepada Nabi Muhammad s.a.w., di mana Abu Jahal menghalang Nabi s.a.w. beribadat di masjid, menghalang baginda ntuk mengajar dan menerangkan hukum agama di dalam masjid.

Oleh kerana itu, menjadi amalan kepada Nabi s.a.w. dan para sahabatnya, tidak melarang orang mengajar agama di dalam masjid. Apabila dilihat seseorang yang diragui mengajar agama di dalam masjid dan bimbang kalau mengajar perkara yang tidak benar, dia perlu dipanggil dan disoal siasat tentang apa yang diajarkannya.

Kalau apa yang diajar itu perkara yang benar, dia tidak boleh dihalang dan dicegah. Barang siapa yang mencegah orang yang mengajar adalah hukuman yang termasuk dalam meruntuhkan masjid dan mencegah manusia daripada mengingati Allah di dalamnya.

Termasuk juga dalam mencegah manusia mengingati Allah dalam masjid ialah mereka yang mengunci masjid kononnya untuk menjaga keselamatan masjid.

Jaga keselamatan masjid bukan cara menguncinya. Jaga keselamatan masjid ialah dengan menghidupkan masjid itu dengan zikrullah serta melakukan kerja-kerja kebajikan yang ada hubung kaitnya dengan kegiatan masjid.

Satu kekeliruan apabila Islam hanya di masjid

Boleh jadi ada orang yang berkata, sekiranya masjid itu tidak dikunci nanti ia akan dimasuki penagih dadah, pencuri dan seumpanya. Sebab berlaku begitu kerana kita merasakan Islam itu hanya di masjid sahaja.

Antara sebab lain ialah kerana di luar masjid, Islam tidak dilaksanakan, dengan sebab itu hubungan antara masjid dengan luar masjid tidak dapat diselaraskan.

Mengapa orang yang melakukan kejahatan suka masuk ke dalam masjid untuk melakukan kejahatan? Ini kerana di luar masjid berjalan undang-undang jahat yang tidak berlandaskan kepada hukum Allah SWT, sebab itulah huru-hara boleh berlaku dalam masjid dan di mana-mana sahaja.

Kita mestilah mengetahui bahawa hukum agama Allah ini bukan sahaja dilaksanakan dalam masjid, tetapi juga di luar masjid.

Yang menjadi kacau-bilau hari ini kerana kita bimbang kalau-kalau masjid diganggu kerana kita tidak melaksanakan Islam di luar masjid.

Apabila Islam tidak dilaksanakan di luar masjid, maka berlakulah perkara yang tidak selaras dalam masalah keselamatan masjid sehingga kita membuat undang-undang sendiri dan undang-undang yang bercanggah dengan Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad s.a.w.

Kita hendaklah memhami bahawa yang dikatakan memakmurkan masjid itu ialah seperti yang disebut oleh Allah SWT di dalam firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya hanya yang memakmurkan masjid itu ialah seseiapa yang beriman dengan Allah dalam erti kata yang sebenarnya ( Surah at-Taubah, ayat 18).

Bukan dalam makna yang tidak sebenar iaitu beriman dengan sebahagian sahaja daripada ajaran Allah dan yang sebahagian lagi tidak beriman.
Orang yang beriman sebahagian sahaja daripada ajaran Allah SWT tidak layak untuk memakmurkan masjid dan disebut ayat berikut iaitu mereka yang beriman dengan hari akhirat.

Orang yang memakmurkan masjid ialah orang yang percaaya kepada hari akhirat bukan sebaliknya, dan mereka yang mendirikan solat. Iaitu orang yang mendirikan solat inilah orang yang memakmurkan masjid. Orang itu mestilah mendirikan solat, kalau kerajaan, kerajaan itu hendaklah mendirikan solat juga.

Apa makna kerajaan mendirikan solat? Makna memakmurkan masjid ialah kerajaan yang jemaah menterinya dan ketua-ketua negaranya menunaikan solat lima waktu, bukan solat sunat hari raya dan solat Jumaat sahaja.

Mereka juga hendaklah menjalankan undang-undang yang memerintah supaya orang mengerjakan solat. Kalau dalam negara itu tidak ada undang-undang demikian serta menghukum orang yang tidak solat, maka tidak dinamakan pemerintah yang mendirikan solat. Kerajaan seperti itu tidak layak untuk memakmurkan masjid.

Dan juga ciri terakhir ialah mengeluarkan zakat. Orang yang memakmurkan masjid ialah orang yang menunaikan zakat. Apa kena mengena memakmurkan masjid dengan menunaikan zakat? Orang yang menunaikan zakat ini ialah orang yang tahu tanggungjawab harta bendanya dengan menunaikan zakat mengikut hukum-hukum agama yang ditetapkan Allah dan Rasulullah s.a.w.

Sumber : Harakahdaily/

Wednesday, May 12, 2010

Persiapan penentuan arah kiblat Masjid At-Taqwa,bdr bukit mahkota..




Assalamualaikum,

Semalam/11-5-2010 telah diadakan perbincangan di rumah pengerusi, Hj Khair berkaitan dengan persiapan yang diperlukan bagi penentuan arah kiblat Masjid At-Taqwa,Bdr bukit mahkota yang dijadualkan jam 11.30pagi pada Khamis/13-05-2010.Rupanya banyak juga perkara yang perlu disediakan bagi tujuan tersebut.Insya-allah,semua perkara tersebut akan disediakan oleh AJK penaja pembinaan Masjid At-Taqwa.Diputuskan juga didalam pertemuan tersebut yang dihadiri oleh setiausaha, Sdr Junaidi & ajk untuk dibersihkan tapak masjid at-taqwa pada petang rabu/12-05-2010 & kelulusan peruntukan kewangan sebanyak anggaran RM300 bagi tujuan penentuan arah kiblat ini. Sesiapa yang mempunyai kelapangan masa, jom kita sama-sama turun membantu usaha pembersihan tapak Masjid At-Taqwa sebelum penentuan arah kiblat yang akan ditentukan oleh Pejabat Falak Selangor keesokan harinya.
Agenda utk hari ditentukan arah kiblat Masjid At-Taqwa,bdr bukit mahkota.(13-5-2010)
1.Doa.
2.Taklimat oleh pengerusi & pegawai Pejabat Falak Selangor.
3.Kerja Penentuan arah kiblat.
4.Jamuan.

Sekian.Untuk makluman semua.

Tuesday, May 11, 2010

Penentuan arah kiblat di tapak Masjid At-Taqwa...






Assalamualaikum,

Alhamdullilah, pihak Jabatan falaq Selangor akan menentukan arah kiblat tapak Masjid At-Taqwa pada hari Khamis/13-05-2010 jam 11.30 pagi.
Kepada sesiapa yang mempunyai kelapangan masa dijemput hadir bersama-sama.
Insya-allah.

Sama-sama kita doakan agar usaha mendirikan masjid at-Taqwa ini diberkati Allah swt.

Dilaporkan oleh:
AJK Masjid At-Taqwa.

Monday, May 3, 2010

Titah Penuh DYMM Sultan Selangor Berkaitan Pengurusan Masjid




PEMBERITAHUAN

Menjunjung Titah Perintah
Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhajyang menitah dan mengingatkan kepada pegawai masjid dan Jawatankuasa Kariah Masjid bahawa:


1. Pemegang Amanah Tunggal
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hendaklah menjadi pemegang
amanah tunggal bagi semua masjid dalam negeri Selangor.
Seksyen 96 (1), Enakmen Pentadbiran Agama Islam
(Negeri Selangor) 2003


2. Penggunaan Masjid
Masjid-masjid di negeri Selangor hendaklah digunakan sebagai:
a. Tempat untuk orang-orang Islam beribadat, terutamanya
untuk mendirikan solat fardhu lima waktu dan solat Jumaat;
b. Pusat kegiatan agama Islam dan penyebaran dakwah; dan
c. Pusat sumber maklumat penduduk dan maklumat tentang
MAIS dan maklumat lain.

Masjid tidak boleh digunakan sebagai:
a. Gelanggang politik yang boleh menyakiti dan
memecahbelahkan perpaduan ummah
b. Hotel, rumah tumpangan atau tempat penginapan.

Kaedah 34 (1) dan (2), Kaedah-Kaedah Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Kariah (Negeri Selangor) (Pindaan) 2001


3. Tauliah Ceramah Dan Mengajar
Penceramah di masjid-masjid hendaklah mempunyai tauliah dan mana-mana orang yang mengajar tentang Agama Islam atau perkara-perkara tentang Agama Islam tanpa tauliah yang diberikan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 119 (1), Enakmen Pentadbiran Agama Islam
(Negeri Selangor) 2003


4. Menjaga adab-adab semasa di dalam masjid seperti:
a. Solat Tahiyatul Masjid dan Niat Iktikaf
b. Sentiasa menyebut nama Allah
c. Menghentikan percakapan berunsur cacian,
memfitnah, menyakiti hati dan menghina Islam

5. Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Kariah
a. Setiap masjid hendaklah ditadbirkan oleh pegawai masjid
dan suatu Jawatankuasa Kariah
Kaedah 6 (1), Kaedah-kaedah Pegawai Masjid dan Jawatankuasa
Kariah (Negeri Selangor) (Pindaan) 2001


b. Nazir sesuatu masjid hendaklah mengetuai pengurusan
dan pentadbiran masjid
Kaedah 15 (a), Kaedah-kaedah Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Kariah (Negeri Selangor) (Pindaan) 2001

c. Dalam melaksanakan tugasnya, pegawai masjid dan
Jawatankuasa Kariah hendaklah tertakluk kepada kawalan
dan arahan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Seksyen 103, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003
Kaedah 6 (4), Kaedah-kaedah Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Kariah (Negeri Selangor) (Pindaan) 2001


6. Menghina Pihak Berkuasa Agama
Mana-mana orang yang bertindak dengan cara yang menghina
kuasa yang sah, atau mengingkari, melanggar, atau
mempertikaikan perintah atau arahan –
a. Duli Yang Maha Mulia Sultan atas sifat Baginda
sebagai Ketua Agama Islam;
b. Majlis Agama Islam Selangor (MAIS);
c. Mufti, yang dinyatakan atau diberikan fatwa,


adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Seksyen 12 (a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995


“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor turut menitah dan berpesan kepada semua orang Islam khususnya orang Melayu sentiasa mengeratkan perpaduan dan persefahaman”


Sebarang aduan sila hubungi:
Hotline: 1-800-88-2424 (Penguatkuasa JAIS)
SMS: 019-6565 400/019-6565 400
Email: mail@mais.gov.my
Laman web: www.mais.gov.my
18 September 2009
28 Ramadhan 1430H



PENGERUSI
MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR

DATO' SERI UTAMA DIRAJA
MUFTI SELANGOR

PENGARAH
JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR

sumber : http://www.mais.net.my

Bicara ilmu : Masjid Wahana Transformasi Ummah



Masjid Wahana Transformasi Ummah
Bersama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktutr dan Kemudahan Awam, Dato’ Dr Hassan Mohamed Ali.

SOALAN :

1. APA PANDANGAN DATO’ MENGENAI PERKEMBANGAN MASJID-MASJID DI NEGERI SELANGOR?

Alhamdulillah dewasa ini saya dapat melihat perkembangan masjid dan surau semakin baik dan permintaan untuk mendirikannya di kawasan-kawasan perumahan baru dan taman-taman amat memberangsangkan, namun kita juga dalam usaha untuk memperkasakan dari sudut pengisian, pentadbiran dan pengurusan agar masjid ini benar-benar menjadi wahana transformasi ummah.

Sehubungan dengan itu setelah saya, Timbalan Pengarah dan Ketua-Ketua Penolong Pengarah dan Pegawai-Pegawai Kanan JAIS melawat masjid-masjid di Singapura pada Julai lepas mendapati bahawa di Negeri Selangor perlu kepada perubahan gaya dan catra mengurus dan mentadbir masjid terutamanya perlu kepada kepimpinan masjid baru yang ada wawasan untuk pembangunan masjid samada dari sudut aktiviti pengimarahan masjid, pentadbiran, kemasyarakatan, keceriaan, sumber maklumat, ekonomi, tarbiyyah dan riadhah. Oleh itu faktor umur penjawat Pegawai dan Jawatankuasa Masjid adalah dicadangkan 60 tahun ke bawah dan dicalonkan daripada mereka yang sekurang-kurangnya ada kelayakan akademik dari SPM, diploma, ijazah dan ke atas.

2. ADAKAH DATO’ BERPANDANGAN BAHAWA INSTITUSI MASJID DI SELANGOR SELAMA INI TELAH MELAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB YANG SEPATUTNYA, BAGAIMANA?

Alhamdulillah kita tidak nafikan sebahagian amanah yang asas seperti mendirikan sembahyang lima waktu, Sembahyang Jumaat dan sedikit pelaksanaan tazkirah dan kuliah telah dilaksanakan tetapi ia tidak cukup syarat untuk masjid dijadikan sebagai wahana tranformasi ummah sedangkan tugas dan tanggungjawab kita belum digembelingkan sehingga ke peringkat maksimum. Dari sudut pentadbiran dan pengurusan umpamanya, kita perlu jana masjid-masjid dan surau-surau agar mengikut segala arahan JAIS dan Kerajaan Negeri seperti mengemaskinikan aktiviti, kewangan, Mesyuarat Bulanan Jawatankuasa dan Pegawai Masjid, Mesyuarat Agong setiap tahun dan mengikuti kursus-kursus pengukuhan pentadbiran dan pengurusan agar ianya lebih berupaya, telus, ada pertanggungjawaban, adil dan amanah.

3. APAKAH KRETERIA YANG SEPATUT ADA PADA MASJID-MASJID DI SELANGOR INI?
Masjid dan surau di Negeri Selangor mestilah dijadikan sebagai wadah pengembelingan amal islami masyarakat dan wahana transformasi ummah melalui program mesra remaja, mesra keluarga dan mesra masyarakat. Untuk mencapai matlamat ini kita perlu menganjakkan paradigma kita ke arah:

a. Pemantapan organisasi pengurusan masjid dari segi kekompetensian pengurus dan jawatankuasa masjid;
b. Memperkasakan kurikulum dan metodologi pembelajaran Islam di masjid-dan surau;
c. Membentuk jati diri ummah menerusi masjid dengan program 3M di atas;
d. Menambah baikkan struktur pimpinan masjid;
e. Memperkukuh, menambah dan mempertingkatkan lagi tenaga-tenaga pakar dalam kepimpinan masjid;
f. Mempromosikan sistem masjid cemerlang dengan mengenakan aras kualiti sasaran seperti KPI ‘Key Performance Indeks’ kepada 50 masjid seluruh Negeri Selangor;
g. Mewujud dan meningkatkan jaringan ICT dan Ahli Jawatankuasa Kariah melalui mukim-mukim atau zon-zon yang sedia ada;
h. Masjid sebagai pusat maklumat dan kemasyarakatan yang bersifat ‘one stop centre’(aktiviti berpusat).

4. BAGAIMANA DATO’ MELIHAT PADA PERKARA PENGIMARAHAN MASJID DI SELANGOR INI DAN SIAPAKAH YANG PATUT BERPERANAN ?

Selain daripada Jabatan Agama Islam yang menjadi mentornya ianya juga patut disambut oleh badan-badan lain seperti NGO, Badan-badan koporat, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jawatankuasa Penduduk, Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dan sukarelawan selain dari Jawatankuasa dan Pegawai Masjid sediada. Pembangunan pemikiran atau anjakan sikap dan mentaliti cara berfikir kita mesti digandakan terutama Pegawai dan Jawatankuasa masjid lebih-lebih lagi dalam suasana bertambahnya gejala sosial, murtad, penagihan dadah dan sebagainya yang memang mengancam akidah umat Islam. Oleh itu suatu aktiviti atau program islah masyarakat mesti dibuat dan dilaksana oleh kita bersama terutama institusi masjid. Kita mahukan institusi masjid lebih berperanan daripada hanya sembahyang lima waktu dan menyusun satu dua program semata.
Di samping itu kita ada Ketua Pegawai Penyelaras dan Pegawai-Pegawai Penyelaras Daerah yang membantu pemantauan dan pelaksanaan program pengimarahan seluruh Negeri Selangor.
5. ADAKAH DATO’ MELIHAT JAWATANKUASA YANG DILANTIK BAGI MENGURUSKAN HAL EHWAL MASJID TELAH MEMAINKAN PERANAN YANG SEBAIKNYA?

Sebagaimana yang saya katakan tadi Jawatankuasa dan Pegawai Masjid kita perlu memainkan peranan sehingga ke peringkat maksimum agar mampu menampung kelemahan dan kekurangan dalam menguruskan masjid. Kita harapkan dengan penampilan jawatankuasa dan pegawai masjid yang bertukar sesi lepas Mei ini akan lebih perkasa dan kompeten. Menjadi tanggungjawab kita memperkukuhkan institusi masjid dengan latihan, kursus dan konvensyen agar mereka mampu berperanan sebaiknya.

6. APAKAH CIRI-CIRI YANG PERLU ADA PADA AJK MASJID YANG DILANTIK DI SELURUH MASJID NEGERI SELANGOR?

Sebagaimana pekeliling Tatacara Pencalonan Jawatankuasa dan Pegawai Masjid kita telah meletakkan sebahagian kriteria-kriteria mereka seperti umur tidak melebihi 60 tahun, mesti anak kariah, boleh membaca, menulis dan mengira.

Bagi jawatan Nazir, keutamaan akademik minima ialah mempunyai kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Pelajaran Agama (SPA)/ Empat Thanawi dan keutamaan diberi kepada calon yang mempunyai diploma dan ke atas di samping mampu mengetuai halaqah-halaqah ringan yang melibatkan Ahli Jawatankuasa dan jemaah di samping mampu mengimamkan sembahyang, menyampaikan khutbah serta mengetuai majlis tahlil.

Bagi jawatan Setiausaha, keutamaan hendaklah diberi kepada calon yang memiliki pengalaman kesetiausahaan dan pentadbiran. Jawatan Bendahari, keutamaan hendaklah terdiri daripada mereka yang memiliki ilmu dan berkemahiran dalam penyimpanan buku kira-kira dan jawatankuasa lain hendaklah terdiri dari mereka yang berlatarbelakangkan pelbagai bidang kemahiran seperti mempunyai pengetahuan agama Islam, mempunyai akhlak yang mulia dan amanah, selalu membuat amal kebajikan, sihat tubuh badan dan mental, mempunyai daya kepimpinan dan sentiasa menjalin hubungan baik dengan ahli kariah dan menunjukkan ciri-ciri kreatif serta sering membawa idea-idea baru untuk meningkatkan kemajuan masjid / surau.

7. APA YANG DATO’ MAKSUDKAN DENGAN “MASJID WAHANA TRANFORMASI UMMAH”?

Sejarah Islam membuktikan bagaimana Rasulullah SAW berjaya menjadikan institusi masjid sebagai pusat kegiatan masyarakat, pusat penyatuan dan pengislahan ummah serta menjadikan masjid sebagai pusat pengembangan ilmu dan penyebaran maklumat, semuanya bermula dari masjid. Masjid telah dijadikan sebagai tempat untuk berkumpul, berbincang dan merancang strategi dan tidak terbatas hanya di bidang dakwah, bahkan perdagangan, perundangan dan pelbagai lagi. Bermula dari sinilah terpancar cahaya Islam, pancaran ilmu, keharmonian, ihsan dan ketinggian akhlak umat Islam di seluruh pelusuk dunia.Di samping itu Baginda telah menjadikan masjid sebagai pusat ibadat, pusat pemerintahan dan pentadbiran negara, nadi gerakan Islam dan penggerak kegiatan masyarakat, tempat menuntut hak dan keadilan, pusat kebajikan, gedung ilmu serta pusat hubungan dengan Allah dan manusia sesama manusia.

Umat Islam berubah daripada menyembah berhala dan mengabdikan diri sesama manusia kepada hanya menyembah Allah dan mengikut peraturan dan undang-undang Allah SWT semata-mata. Inilah yang kita harapkan fungsi dan peranan masjid hari ini.

8. SEPERTI YANG DATO’ INGINKAN, ADAKAH SALAH SATU PERKARA YANG PERLU ADALAH MASJID SEBAGAI PEMANGKIN DALAM MEMBENTUK MASYARAKAT ISLAM YANG BERKUALITI, JELASKAN ?
Hari ini kita mahu melihat masjid bukan sahaja mampu ditadbir dan diurus dengan baik tetapi mampu menjadi penggerak, pemangkin dan sebagai agen untuk merubah masyarakat Islam khususnya daripada kurang berilmu bertambah ilmunya, tertutup minda mereka kepada terbuka, berpeluk tubuh kepada peka dan perihatin sentiasa berfikir dan bertindak bagaimana hendak mengislahkan ummah dengan program-program yang disusun, bagaimana hendak memajukan ekonomi umat Islam, politik umat Islam serta pendidikan umat Islam.

Berfikir tentang peranan masjid mampu membendung gejala sosial dan membangun masjid dengan segala prasarana ilmu, tarbiyah dan pendidikan Sebenarnya, kejayaan sesebuah masjid itu sangat bergantung kepada sejauh manakah peranan dan fungsi yang dijalankan olehnya, lebih-lebih lagi setakat manakah sesebuah masjid itu dapat menarik masyarakat Islam di sekelilingnya untuk beribadat dan menggunakan masjid tersebut untuk kebaikan dan kebajikan masyarakat.

9. BAGAIMANA PULA DATO’ MELIHAT PERANAN JEMAAH DISESEBUAH MASJID?

Tugas mengimarahkan masjid bukan hanya dibebankan kepada Pegawai dan Jawatankuasa Masjid sahaja tetapi ia merupakan tugas dan tanggungjawab ahli jemaah dan Anak Kariah masjid keseluruhannya. Contohnya kalaulah masjid menyusun banyak program tetapi kesedaran masyarakat sekeliling tidak mengambil endah dan tidak memberikan sokongan serta kerjasama, bagaimana suatu masjid itu akan maju, warganya faham Islam dan berubah sikap? Sebab itu peranan dan fungsi Anak Kariah dan jemaah orang Islam atau tepatnya penduduk Islam di sekitar sesuatu masjid itu turut penting dalam memainkan peranan mereka dalam memakmurkan masjid.

10. APAKAH CIRI-CIRI YANG PATUT ADA DI MASJID-MASJID KITA DI NEGERI SELANGOR INI AGAR IA MENJADI SEBAGAI PEMANGKIN KEPADA UMAT ISLAM KHUSUSNYA?

Saya jelaskan di atas cumanya paling minima semua Nazir-Nazir, Jawatankuasa dan Pegawai Masjid mesti boleh bekerjasama dengan Kerajaan sekarang di samping memenuhi segala keperluan masyarakat setempat dari semua kemudahan yang patut seperti masjid sebagai pusat ibadah, pusat pendidikan, pusat kegiatan sosial, pusat pembangunan masyarakat, pusat penerangan dan maklumat, pusat kehakiman, pusat perhubungan, pusat interaksi masyarakat, pusat rawatan dan kecemasan, pusat pemulihan dan pusat seni. Dan mencapai visi masjid untuk menjadikannya sebagai sebuah institusi dan sebagai ‘One Stop Centre’(pusat aktiviti) kepada masyarakat.

11. SECARA AMNYA APA PANDNGAN DATO’ BERHUBUNG DENGAN MASJID DALAM MEMBENTUK LAPISAN MASYARAKAT SETERUSNYA SEBUAH NEGARA YANG DIIDAM-IDAMKAN “ BALDATUN TAIYIBATUN WARABBUN GHAFUR”

Akhirnya apabila masjid benar-benar menjadi pusat atau centre kepada masyarakat Islam dan pengembangan ilmu berjalan dengan lancar serta bersepadu dunia dan akhirat melalui wadah masjid, apabila umat Islam faham Islam secara menyeluruh (syumul) dan hilang kejahilan, apabila umat faham tugas dia sebagai hamba, faham tugas dia sebagai khalifah, faham amar ma’ruf dan nahi mungkar dan faham jihad untuk memertabatkan umat Islam dan meninggikan syiar Islam, saya yakin masing-masing ada tanggungjawab, masing-masing ada peranan dan masing-masing ada amanah akhirnya proses untuk mengislahkan ummah dan Negara berjalan serentak dan itulah bibit-bibit mula ke arah “Baldatun Toiyyibatun Wa Rabbun Ghafur”.t.k.

SUMBER JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR
SEMPENA KELUARAN MAJALAH JAIS BIL. 2

Sunday, May 2, 2010

Alhamdullilah..JAIS dah luluskan permohonan pembinaan Masjid At-Taqwa,Bdr Bukit Mahkota...




Alhamdulillah, pada 19 April 2010, pihak JAIS dengan no rujukan bil(76)dlm JAI.SEL.BPM/01/025 telah meluluskan permohonan jawatankuasa penaja pembinaan Masjid At-Taqwa,Bdr bukit Mahkota. Satu taklimat berkenaan berita baik ini juga telah diadakan di Surau Al-Buhairah pada 19/4/2010 dengan dihadiri oleh wakil-wakil surau di bdr bukit mahkota.Berkat kesabaran dengan penantian selama hampir 3 tahun sejak 2007, akhirnya kelulusan permohonan pembinaan ini dapat diluluskan.Sampailah masanya kita mengorak langkah ke fasa seterusnya yang memerlukan kerjasama semua pihak bagi merealisasikan pembinaan masjid At-Taqwa,Bdr Bukit Mahkota ini. Sama-sama kita berganding bahu ibarat "bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat".
Masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan. Begitu juga dengan sumbangan masyarakat setempat samada ada dari segi harta,tenaga, masa ,idea dan sebagainya amatlah dihargai.

Salam ukhuwah. Moga terjalin ikatan silaturrahim yang erat demi mencapai satu matlamat mendirikan masjid at-taqwa,bdr bukit mahkota.

Lokasi tapak masjid at-taqwa,bdr bukit mahkota,,,,

Dimanakah lokasi tapak masjid At-Taqwa,Bdr bukit mahkota?..
Berikut adalah maklumat yang berkaitan lokasi tersebut.



Juga boleh didapati dengan melayari laman web:
http://www.wikimapia.org/#lat=2.8801761&lon=101.8108177&z=17&l=0&m=b

Saturday, May 1, 2010

Mesyuarat J/kuasa bertindak Pembinaan Masjid At-Taqwa,Bdr bukit mahkota...




Alhamdullilah,mesyuarat jawatankuasa pembinaan masjid bdr bukit mahkota telah diadakan pada Jumaat/30-4-2010 bertempat di rumah pengerusi, hj Khair omar. Mesyuarat ini membincangkan beberapa perkara terutamanya dari segi memperkasakan sturuktur organisasi jawatankuasa, penyelarasan gerakerja & pembukaan akaun bank iaitu Bank Islam sejurus sahaja kelulusan daripada JAIS yang diperolehi pada 19/4/2010.
Insya-allah,sama-sama kita berkerjasama dan mejalin ukhuwah bagi merealisasikan pembinaan masjid at-taqwa,bdr bukit mahkota.

sekian.

Dilaporkan oleh,
Jawatankuasa Pembinaan Masjid At-Taqwa,Bdr Bukit Mahkota.