Tuesday, August 17, 2010

Takzirah: Ramadhan Datang Lagi...

KHUTBAH JUMAAT

TAJUK : Ramadhan Datang Lagi

OLEH: Ustaz Hj Mohd Zakuan Hj Tak

Bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar benar taqwa iaitu dengan mengerjakan segala amalan yang diperintahkan dan meninggalkan segala larangan. Mudah-mudahan mendapat kebahgiaan hidup dunia dan akhirat.


" Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kepada kamu berpuasa sepertimana diwajibkan kepada orang-orang yang sebelum kamu supaya kamu bertaqwa.…..Al-Baqarah 183.
Sidang jumaat yang dirahmati sekalian,

Ramadhan Al-Mubarak telah menemui kita semua. Alhamdullilah, kita bertemu sekali lagi dibulan yang penuh dengan keberkatan, ganjaran pahala digandakan untuk yang mengerjakan amalan wajib dan sunat.

* Bulan yang diampunkan dosa kepada yang memohon doa.
* Bulan yang ditunggu dan dirindui oleh orang-orang yang cintakan ibadah, manakala pemergiannnya akan diratapi dan ditangisi kerana kelebihannya yang terdapat dibulan Ramadhan tidak akan sama dengan 11 bulan yang lain.
* Bulan yang mana telah diturunkan kitab suci Al-Quran kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
* Bulan yang mengandungi satu malam jika bertepatan kita beribadat pada malamnya adalah sama dengan beribadat 1000 bulan.
* Bulan dimana setiap pintu pintu syurga dibuka lebar dan ditutupi pintu pintu neraka, manakala iblis dan syaitan akan di rantai dan dibelenggu.

Begitulah maksud hadis Rasulullah SAW mengenai kelebihan Ramadhan.


Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,
Peringatan demi peringatan diberikan kepada sekalian mukmin, supaya sama-sama mempertingkatkan amalan masing-masing dibulan mulia ini. Pada siang harinya kita diwajibkan berpuasa, yakni menahan diri dari tidak makan dan tidak minum sambil mengelakkan hati dan seluruh pancaindera dari melakukan sebarang perbuatan dosa yang boleh membatalkan dan mengurang pahala puasa. Banyak perkara yang tanpa disedari boleh mengakibatkan batalnya puasa sesaorang itu. Lantaran dari kejahilan dan menurut kata nafsu yang sentiasa diruntun oleh Iblis maka banyak diantara kita yang berpuasa sedangkan natijahnya tidak berpuasa. seperti sabda Rasulullah SAW: yang bermaksud: Adakalanya orang berpuasa itu tidak mendapat pahala apa-apa hanya yang mereka dapat lapar dan dahaga sahaja.
Sidang jumaat yang dirahmati sekalian,
Seharusnya kedatangan bulan Ramadhan tahun ini, kita perlu berazam tinggi untuk meningkatkan ibadah puasa lebih baik dari Ramadhan ditahun tahun yang lalu. Kalau dulu kita tidak pernah melakukan 20 rakaat tarawikh, maka tahun ini kita cuba, atau ditahun lalu tidak sepatah ayat Quran yang kita bacai, maka kita berazam ditahun ini akan mula membaca quran bertadarus bersama dengan anak isteri. Kalau tahun lalu masjid dan surau tidak kita jeru, maka tahun ini berazam untuk datang pada setiap malam. Maka khutbah jumaat hari ini ingin mengajak tuan-tuan sidang hadirin sekalian supaya mempertingkatkan ibadah puasa masing masing ketahap puasa yang paling tinggi seperti puasanya para para ambia dan sahabat-sahabat baginda SAW..


Ketahuilah saudara ku sekalian,
Bahawasanya berpuasa Ramadhan itu hanya sahnya apabila melakukan niat pada malamnya. Maka amatlah malang sekali jika diantara kita yang tidak berniat langsung pada malamnya, maka tidak sahlah puasanya pada esok hari. Oleh itu mengajar anak bini seisi keluarga berniat pada malam pertama Ramadhan adalah suruhan wajib yang patut kita tunaikan bersama. Seandainya isteri dan anak-anak tidak berniat puasa atas kegagalan kita mengajar mereka pada malam tersebut, maka kalian telah melakukan satu kesilapan besar dan berdosa. Oleh itu, kita sebagai pemimpin keluarga maka wajib kita berniat pada setiap malam dengan lafaznya : Nawaitu Saumaqoddin An adaie, farddai romadzana ha zihi sanati lilillah hitangala …. Yang bermaksud : Sahaja aku berpuasa esok hari bulan ramadhan tahun ini kerana allah SWT. Kemudian kita disunatkan pula menambah dan meraikan niat mazhab hanafi untuk berniat puasa sebulan ramadhan dengan lafaz niatnya yang bermaksud: "Sahaja aku puasa sebulan ramadhan tahun ini kerana Allah SWT."


Jadi sesudah berniat demikian rupa, maka seandainya kita terlupa untuk berniat Nawaitu Saumaqoddin pada tiap-tiap malam maka sah puasa kita. kerana kita telah berniat berpuasa sebulan mengikut amalan mazhab hanafi. Oleh itu peluang dan ruang masih ada untuk mentelaah kembali kitab kitab feqah atau buku teks agama kepunyaan anak anak kita dirumah, tentang bagaimana melakukan niat puasa Ramadhan. Kerana tidak dinafikan ada diantara kita yang telahpun lupa bagaimana cara berniat puasa Ramadhan, kerana kedatangannya hanya setahun sekali.


Muslimin yang dirahmati sekalian,
Dibulan Ramadhan nanti. Rasululllah mengingatkan kita umatnya, supaya memperbanyakan amalan dan ibadat seperti sembahyang berjemaah, sembahyang sunat tarawikh, membaca al-quraan dan amalan bersedekah. Kerana ibadah wajib yang kita buat akan diganjarkan dengan 700 kelebihan manakala amalan sunat yang dikerjakan akan diberikan ganjaran sama seperti mengerjakan ibadah wajib.
Satu lagi amalan mulia yang perlu dilakukan ialah amalan bersedekah. Bersedekah yang paling utama ialah memberi makan dan minum kepada orang orang yang berbuka puasa. Terutama kepada gulungan dhoif dan miskin. Maka gulungan seumpama ini lah yang perlunya kita berlumba dan mencari-cari untuk memberi makanan kepada mereka. Mereka boleh kita jemput berbuka puasa dirumah ataupun disumbangkan kepada masjid dan surau bagi tujuan menaja jamuan berbuka puasa. Tetapi kadang-kadang dibulan Ramadhan ini kita menjadi lebih kedekut dari bulan bulan yang lain, terutama jika hendak bersedekah wang ringgit. Terketar-ketar tangan untuk memberi sedekah kepada masjid dan surau serta gulungan fakir dan miskin. Berkira kira sangat untuk membuat jariah, sedangkan jariah yang kita sumbangkan diatas dunia inilah, yang kekal sebagai saham kekal diakhirat nanti, manakala pembaziran dan aliran wang yang tidak berfaedah yang kita laburkan diatas dunia ini akan menjadi debu yang berterbangan, yang tidak menjanjikan apa apa pulangan pahala. Semua makanan enak yang kita telan selama harini, akan menjadi najis yang busuk dan menjijikan. Manakala setiap pakaian cantik dan mahal yang kita pakai hanya berupaya menjadi perca kain yang huduh dan lusuh disatu hari nanti. Mimbar ingin memberi peringatan keras kepada para jemaah sekalian, kerana ada diantara warga kita yang apabila datang sahaja pihak Masjid atau surau kerumah untuk memungut derma, bagi membiayai perbelanjaan aktiviti Ramadhan dimasjid atau surau, sengaja memandang acuh tak acuh dengan sebelah mata. bermacam-macam alasan diberi, "Tak ada duit kecil waktu ini." "Saya tak sembahyang disurau ini.." " Boleh datang dilain hari" atau , " Besok saya akan kasi" . Dan ada yang lebih parah lagi, yang sanggup menyembunyikan diri apabila datang jawatankuasa masjid menagih janji. Pemungut wang bertauliah diluar memberi salam berkali-kali, kita mendengar tetapi takut menjawab dan terpaksa berlakun pekak dan tuli, hingga mereka berlalu pergi, baru kita keluar setelah tersepit bersembunyi dan berpeluh dicelah almari. Mengapa kita begitu takut dengan kedatangan mereka membawa lis derma seumpama ini. Mereka bukan Along atau ceti, memaksa untuk memberi, Tidak berduit katakan tiada, biar mereka beredar pergi, Jika tidak diberi tuan-tuan tidak diherdik atau dicaci. Tetapi tidak malukah tuan-tuan kepada Allah SWT yang memberikan ribuan ringgit setiap bulan sebagai imbuhan gaji. Sombong dan takbur rupanya menjadi pakaian diri. Kalau RM10.00 yang diberi, luakkah pendapatan kita itu. Bukan setiap hari tetapi setahun hanya sekali. Oleh itu saudara saudara seagamaku sekalian, jangan terlalu kedekut dengan rezeki yang Tuhan beri. Sumbangan seringgit dua yang tuan-tuan beri, akan dicairkan kepada perkara kebajikan yang akan menyelamatkan tuan-tuan sendiri dari bakaran api neraka diakhirat nanti.


Sidang jumaat yang berbahagia.
Oleh itu saya mengingatkan diri saya sendiri dan sidang jumaat sekalian, supaya mencari ruang dan peluang untuk berlumba membuat amal kebajikan dibulan Ramadhan nanti, terutama didalam amalan bersedekah.
Hari ini setiap masjid dan surau ada mengadakan program bacaan tahlil arwah khusus kepada muslimin muslimat yang telah meninggal dunia. Nama nama arwah ini didapati dari pemberian serta jariah yang diberikan oleh anak cucu yang masih hidup. Maka setiap malam para jemaah dimasjid dan surau akan bertahlil kepada nama-nama yang dijariahkan itu. Nama nama arwah ini tidak akan sampai kepada jawatankuasa masjid atau surau, jika kita sebagai anak atau cucu tidak memberikan nama ini kepada mereka. Bermakna jika kita tidak menjariahkan untuk arwah tahlil kepada mereka, maka roh ibubapa kita akan menanti dan menanti tetapi kecewa, sedangkan roh ibubapa orang lain tidak putus-putus menerima pahala tahlil yang diutuskan oleh anak anak mereka yang soleh diatas dunia ini. Oleh itu buangkan seringgit dua untuk arwah ayah dan bonda, sebagai mengingati mereka dialam barzah sana. Lupakan kita berapa banyak wang ringgit ayah kita yang dikorbankan untuk menjadikan kita orang yang berjaya seperti hari ini. Tetapi untuk membuat kebajikan atas arwah arwah mereka yang telah meninggal amat kita abaikan.

No comments:

Post a Comment