Monday, November 15, 2010

2.5 juta jemaah haji wukuf di Arafah

Nov 15, 10 1:08pm
Kira-kira 2.5 juta jemaah haji yang datang dari seluruh pelusuk dunia termasuk 26,000 dari Malaysia wukuf di Arafah hari ini - kemuncak dalam ibadah haji, dalam suasana cukup harmoni dan syahdu.

Cuaca kering, tetapi dikira tidak terlalu panas dengan suhu mencecah 34 hingga 35 darjah celsius melegakan umat Islam yang berada di tanah suci Makkah untuk sedia berhimpun di padang Arafah.

Jemaah mula berangkat ke Arafah dengan bas kira-kira 21.9 km dari Makkah sejak jam 11 pagi semalam waktu tempatan (4 petang waktu Malaysia) mengikut jadual yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi di bawah kawalan ketat.

Ada laporan agensi berita menyebut angka jemaah pada musim 1431 Hijrah ini mencecah tiga juta orang.

Jemaah perlu berada di Arafah paling lewat tengah hari ini (Zohor) dan berangkat ke Mudzalifah selepas waktu Maghrib untuk mengutip batu-batu kecil bagi tujuan melontar jamrat di Mina pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Jemaah haji Malaysia yang diuruskan Lembaga Tabung Haji (TH) dan pihak Muasassah berada dalam keadaan baik dan memuaskan. Keselamatan, kesihatan dan kebajikan mereka jelas terjaga.

semalam mereka banyak menghabiskan masa dengan membaca al-quran, berzikir, solat sunat, solat hajat dan berdoa kepada Allah SWT.

Pasukan Pertahanan Awam Arab Saudi buat pertama kali memperkenalkan Global Broadcast System (GBS) mengandungi pelbagai maklumat dan risikan mengenai isu-isu keselamatan dan cuaca pada musim haji ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut berada Arafah meninjau dan melihat keadaan jemaah Malaysia di khemah-khemah.

- Bernama

Monday, November 8, 2010

Aidiladha disambut Rabu, 17 November

08 November 2010

01 Zulhijjah 1431 H

KUALA LUMPUR - Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Korban atau Aidiladha pada hari Rabu, 17 Nov ini bersamaan 10 Zulhijjah 1431 Hijrah. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah mengumumkan tarikh itu semalam bagi menyempurnakan titah perintah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, setelah diperkenankan oleh Raja-Raja Melayu.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dengan ini diisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1431 Hijrah ialah pada 17 Nov 2010 Masehi.

Oleh yang demikian, Hari Raya Korban (10 Zulhijjah) bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Rabu, 17 November 2010 Masihi,” katanya.

Sinar Harian/-

Selangor peruntuk RM1.43 bilion bajet 2011...

Selangor peruntuk RM1.43 bilion bajet 2011

Sebanyak RM1.43 bilion diperuntukkan dalam belanjawan negeri Selangor yang dibentangkan di Dewan Undang Negeri itu oleh menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM830 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus mankala sebanyak RM600 juta selebihnya diperuntukkan untuk pembangunan negeri.

NONEJumlah ini merupakan peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding jumlah RM1.3 bilion dalam belanjawan 2010 dan dinyatakan sebagai belanjawan berimbang bertemakan "Hasil Negeri Untuk Rakyat."

Di bawah perbelanjaan mengurus, sejumlah besarnya sebanyak RM333 juta (40.12 peratus) diperuntukkan untuk perkhidmatan dan bekalan, manakala RM282 juta (33.98 peratus) akan digunakan untuk bayaran emolumen.

Selebihnya; sebanyak RM208.5 juta (25.12 peratus) diperuntukkan untuk pemberian dan bayaran tetap, RM5.7 juta (0.69 peratus) untuk pembelian aset dan RM800 ribu untuk perbelanjaan lain.

Di bawah peruntukan pembangunan pula, menteri besar dan setiausaha kerajaan negeri menerima peruntukan paling besar berjumlah RM225 juta, diikuti jabatan kerja raya sebanyak lebih RM153 juta.

Jabatan agama Islam turut merupakan antara penerima peruntukan paling tinggi sebanyak RM110.6 juta, selain jabatan pengairan dan saliran sebanyak RM45 juta serta jabatan pertanian yang menerima RM15 juta.

Dalam ucapan pembentangannya pagi ini, Khalid berkata kerajaan negeri turut menjangkakan peningkatan kutipan cukai sebanyak 15.42 peratus (RM70,960,000) melalui kutipan hasil cukai bagi 2011.

Khalid juga berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi negeri Selangor untuk tahun 2010 diunjurkan berada pada tahap 6.1peratus berbanding penguncupan 1.2 peratus pada tahun 2009.

Katanya lagi, KDNK Selangor disumbangkan lima sektor utama, paling utama melalui sektor perkhidmatan (60.5 peratus) dan pembuatan (32.4 peratus).

Sumbangan daripada kedua-dua sektor ini membolehkan ekonomi Selangor tumbuh lebih baik berbanding pertumbuhan yang dicatatkan oleh negara Malaysia antara 2007 hingga 2009, katanya.

Menurut Khalid, empat strategi dirangka untuk merealisasikan tema belanjawan kali ini, antaranya melalui pengurusan sumber negeri secara bijaksana dan pengurusan perbelanjaan yang cekap.

Ia turut menggariskan strategi bagi mendorong pembangunan modal insan serta memantapkan pembangunan negeri.

sumber : malaysiakini..

nota : sama-sama kita doakan agar pembinaan masjid at-taqwa,bdr bukit mahkota juga termasuk didalam budget kerajaan negeri selangor.insya-allah.

Tuesday, November 2, 2010

Taklimat Penerangan & Perlancaran Dana Pembangunan,

Assalamualaikum,


Taklimat Penerangan & Perlancaran Dana Pembangunan,
Masjid at-Taqwa, Bdr Bukit Mahkota..


Tarikh : Jumaat/05-11-2010
Masa : Sebelum solat Jumaat
Tempat : Surau Ar_raudah, Seksyen 5,
Bandar Bukit Mahkota, Bangi.


Semua Dijemput hadir…

Sunday, October 31, 2010

Perwartaan tapak masjid at-taqwa,bdr bukit mahkota

Alhamdullilah, pada tanggal 27 mei 2010, tapak masjid at-taqwa,bdr bukit mahkota telah pun diwartakan sebagai tanah kerajaan dibawah seksyen 62 kanun tanah negara dengan no rujukan : (2)dalam JAI.SEL.BP/03/005/5/48 & Rujukan PTDHL :PTDUL/16/1/3-2008.




Saturday, October 30, 2010

Resit & Kupon Sumbangan Khairat Masjid At-Taqwa...



Mesyuarat JK Pembinaan Masjid At_taqwa,bdr bukit mahkota...





Surau Al-muhajirin,bdr bukit mahkota,29-10-2010 : JK Pembinaan Masjid At-Taqwa,Bdr bukit mahkota telah mengadakan mesyuarat bulanan kali ke-6 yang dipengerusikan oleh tuan Hj Khair omar. Dialu-alukan juga kehadiran pengerusi & wakil surau di bukit mahkota serta penasihat JK Pembinaan iaitu :
1) Surau Al-Muhajirin,Sek3,Bdr Bukit mahkota ; Sdr Ramli
2) Surau Apartment Nuri,Sek 4,Bdr Bukit Mahkota : Sdr Hairul Affendi
3) Surau Ar_raudah ,Sek5,bdr bukit mahkota : Ustaz Awang Abdullah
4) Surau Al-Buhairah,Sek 6,Bdr Bukit Mahkota : Hj Badaruddin
5) Penasihat JK Pembinaan : Tuan Haji Mazwan Johar,Ahli Majlis MPKj zon24.

Mesyuarat telah memutuskan beberapa perkara untuk makluman bersama iaitu :
1) Kupon & Resit untuk sumbangan masjid telah pun siap dengan cop MAIS.
2) Kad kuasa utk pemegang amanah bagi kutipan.
3) Tempahan utk kotak sumbangan.
4) Promosi & penerangan perlu digiatkan bermula dgn solat jumaat di Surau Al-Raudah,bdr bukit mahkota.
5) Perlantikan penolong setiausaha iaitu sdr aminuddin omar (Sek 2,bdr bukit mahkota)
6) JK pembinaan telah mendapat surat perwartaan tapak & pengesahan arah kiblat.
7) Jumlah kutipan setakat 30/10.2010 : RM4500+

sekian.

Tuesday, October 19, 2010

Mesyuarat AJK Pembinaan Masjid At-taqwa,Bdr Bukit Mahkota @ 29/10/2010.




Assalamualaikum,

Mesyuarat Jawatankuasa Pembinaan Masjid At-Taqwa akan diadakan pada :

Tarikh : Jumaat/29-10-2010
Masa : 9.15 malam
Tempat : Surau Muhajirin,Seksyen 3, Bdr bukit Mahkota.

semua ajk dijemput hadir.

Sunday, October 10, 2010

Gambar terkini ditapak masjid at-taqwa,bdr bukit mahkota,bangi...

assalamualaikum,

Dikongsikan gambar tapak masjid at-taqwa,bdr bukit mahkota untuk tatapan semua warga bdr bukit mahkota. Alhamdullilah, setakat ini pihak jawatankuasa telah mendapat kelulusan MAIS utk membuat kutipan derma & sumbangan. Terima kasih diatas kerjasama yang diberikan bagi merealisasikan pembinaan masjid at-taqwa. Sama-sama kita berusaha dan berdoa agar usaha ini dapat keredhaan Allah swt.Insya-Allah.







Friday, September 3, 2010

Khutbah Jumaat: Mencari malam Lailatul Qadar

September 11, 2009

Sumber: JAKIM

Muslimin Yang Dirahmati Allah Sekalian,

Marilah kita memperkasakan ketaqwaan kita kepada Allah dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan dan keredhaan-Nya di dunia dan di akhirat. Pada hari yang berbahagia ini, mimbar akan membicarakan khutbah yang bertajuk: “Mencari Malam Lailatul Qadar”.

Muslimin Yang Dirahmati Allah Sekalian,

Bulan Ramadan adalah bulan yang dipenuhi keberkatan. Walau bagaimanapun di dalam bulan ini terdapat satu hari yang paling suci iaitu malam Lailatul Qadar. Pahala beribadah di malam ini menyamai seribu bulan iaitu lapan puluh tiga tahun. Bahkan sepanjang setahun, malam ini juga adalah hari yang terbaik dalam kehidupan manusia. Sedarkah kita semua bahawa Allah SWT telah memuliakan kita pada malam ini. Malam Lailatul Qadar mempunyai kelebihan yang sangat besar kerana malam itu menyaksikan turunnya al-Quran al-Karim. Menurut pandangan sebahagian besar ahli tafsir, al-Quran diturunkan sekali gus ke Baitulizzah di langit kedua pada malam Lailatul Qadar. Manakala al-Quran diturunkan ke bumi dan diterima oleh Rasulullah SAW melalui perantara Jibril a.s. sebagai wahyu terjadi secara beransur-ansur selama 23 tahun. Bagi orang yang beriman, pada malam itu adalah peluang untuk mereka mengerjakan sebanyak mungkin amal ibadah. Bahkan mereka berlumba-lumba untuk bangun di malam hening dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Qadar ayat 1-5:

Maksudnya: “Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan (Lailatul Qadar). Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara. Sejahteralah malam yang berkat itu sehingga terbit fajar.”

Muslimin Yang Dirahmati Allah Sekalian,

Memasuki fasa ketiga bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini, maka mimbar menyeru, marilah kita menggunakan peluang dan tawaran yang berharga ini bagi menambahkan bekalan akhirat. Lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir daripada bulan Ramadhan yang mempunyai banyak kelebihannya. Lailatul Qadar adalah malam yang amat ditunggu-tunggu oleh mereka yang menginginkannya kerana ia hanya berlaku pada satu malam sahaja sepanjang tahun. Maka beruntunglah siapa yang memperolehinya dan rugilah siapa yang melepaskannya. Selain kelebihan beramal, malam Lailatul Qadar juga memperjelaskan segala urusan hidup manusia dengan penuh hikmah.

Firman Allah SWT melalui surah al-Dukhan ayat 3-6:

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Qur’an itu pada malam yang berkat; kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran. Padanya dijelaskan tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku. Iaitu perkara-perkara dari sisi Kami; sesungguhnya Kamilah yang mengutus Rasul-rasul. Sebagai rahmat dari Tuhanmu; sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Berdasarkan ayat tadi menurut sebahagian ulama, Allah SWT telah menentukan rezeki dan Qada’ Qadar ke atas segala makhluk-Nya selama setahun. Justeru, tidak pelik mengapa rahsia kedatangannya di sembunyikan oleh Allah SWT kepada kita. Menurut Imam al-Razi, antara rahsia disembunyikan malam Lailatul Qadar ialah:

Pertama : Agar umat Islam dapat membesarkan keseluruhan malam bulan Ramadan tanpa memilih malam tertentu sahaja.

Kedua : Bimbang umat Islam tidak berusaha untuk merebutnya dengan amal ibadat walaupun telah ditetapkan malam tertentu, atau pun dia melakukan maksiat pada malam itu sehingga mendapat kemurkaan Allah kerana berbuat maksiat dalam keadaan tahu lebih besar dosanya.

Ketiga : Supaya umat Islam bersungguh-sungguh mencari Lailatul Qadar sehingga dia mampu memperbanyakkan ibadat lalu dia memperolehi pahala daripada kesungguhannya itu.

Keempat : Melahirkan umat yang menghidupkan keseluruhan malam Ramadhan dengan harapan akan berkebetulan dengan Lailatul Qadar sehingga meningkat amal solehnya. Muslimin Yang Dirahmati Allah Sekalian, Lailatul Qadar menjadi kayu pengukur atas kekuatan iman dan takwa umat Islam selama ini.

Walaupun ulama berbeza-beza pendapat dalam menentukan waktunya, namun pendapat yang paling kuat terjadinya lailatul al-Qadar itu ialah berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah R.A: Mafhumnya: “Cari malam Lailatul al-Qadr di malam ganjil 10 hari terakhir bulan Ramadhan.”(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Persoalan timbul di sini ialah bagaimanakah cara untuk kita mendapatkan Lailatul Qadar?. Rasulullah SAW telah menggariskan beberapa langkah kepada umatnya agar berusaha sedaya upaya mendapatkan Lailatul Qadar ini. Menurut Imam Bukhari dan Muslim bahawa Sayyidatina ‘Aisyah meriwayatkan:

Maksudnya: “ Sesungguhnya, Rasulullah s.a.w. apabila masuk malam sepuluh terakhir Ramadhan, baginda menghidupkan malam (dengan amal ibadah), mengejutkan keluarganya (bangun beribadah), bersungguh-sungguh (dalam ibadah ) dan uzlah dari isteri-isterinya. ” Berdasarkan mafhum hadith tadi antara langkah-langkah untuk mendapatkan Lailatul Qadar itu adalah:

Pertama: Hendaklah seseorang itu tetap iman dan takwanya kepada Allah SWT.

Kedua: Hendaklah mengikhlaskan niat sepenuh hati memohon keredaan Allah SWT.

Ketiga: Meninggalkan sementara keseronokan dunia dengan beriktikaf di masjid sambil beribadat sepuas-puasnya.

Keempat: Mengajak ahli keluarga untuk sama-sama menghidupkan lailatul Qadar.

Maksudnya: Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amalan yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang luasnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertaqwa. (Ali Imran:133)

Thursday, September 2, 2010

Harapan ADUN Bangi...



YB TUAN DR. SHAFIE ABU BAKAR:

" Begitu juga di tempat kami, begitu banyak permohonan-permohonan untuk mendirikan masjid-masjid umpamanya Bandar Seri Putra dan Bukit Mahkota yang saya sebutkan tadi, dua-dua bandar di sini belum ada sebuah masjid pun. Setakat ini mereka menumpang di masjid KUIS(Kolej Universiti Islam) di Seri Putra itu sendiri tetapi bila menumpang tempat orang kita tidak boleh buat pandai-pandai ya, kita nak pergi beribadat pun mesti mengikut aturan maklum sahaja masuk ke dalam sebuah institusi dan kita tidak bebas sebab itu penduduk di sini telah memohon supaya didirikan di sini sebuah sekurang-kurangnya sebuah masjid dahulu yang lebih baik setiap bandar itu, Bandar Seri Putra dan Bandar Bukit Mahkota masing-masing seharusnya mempunyai masjid-masjid yang sendiri..yang tersendiri. Itulah harapan kita terutama daripada ADUN Bangi supaya apa yang kita dibangkitkan dapat perhatian oleh semua
pihak yang berkenaan. Sekian Tuan Speaker, terima kasih."...

Artikel dipetik & disunting daripada sidang
DEWAN NEGERI SELANGOR YANG KEDUA BELAS
PENGGAL KEDUA
MESYUARAT KEDUA
Shah Alam, Khamis 09 Julai 2009

Monday, August 30, 2010

Surat kebenaran membuat pungutan khairat untuk pembinaan Masjid At-Taqwa,Bdr Bukit Mahkota...

Assalamualaikum,

Sukacita dimaklumkan bahawa, pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tiada apa-apa halangana dan memberi kebenaran untuk menjalankan pungutan khairat bagi tujuan pembinaan Masjid At-Taqwa,Bdr Bukit Mahkota,Bangi,43000,Kajang,Selangor.

Disertakan surat kebenaran MAIS untuk rujukan Dato/Datin/Tuan/Puan.




Thursday, August 26, 2010

Kebenaran MAIS bagi kutipan derma/sumbangan pembinaan Masjid At-Taqwa,Bdr bukit mahkota...



Alhamdullilah,sebentar tadi setiausaha Jawatankuasa Pembinaan Masjid At-Taqwa memaklumkan bahawa pihak JAIS telah menghubungi beliau untuk mengambil surat kelulusan untuk mengutip derma & sumbangan bagi pembinaan masjid at-taqwa,bandar bukit mahkota.Insya-allah,sekiranya ada ahli kariah yang ingin menyumbang bagi pembinaan masjid tersebut, segala sumbangan bolehlah disalurkan kedalam akaun bank islam yang didaftarkan atas nama masjid at-taqwa.



terima kasih diucapkan kepada saudara nizam dari sek5,bandar bukit mahkota yang telah mengambil inisiatif mengumpul sumbangan daripada rakan sekerja sejumlah RM350 yang telah dimasukkan kedalam akaun masjid at-taqwa. Semoga Allah swt yang membalasnya.


sekian.wassalam.

Tuesday, August 17, 2010

Takzirah: Ramadhan Datang Lagi...

KHUTBAH JUMAAT

TAJUK : Ramadhan Datang Lagi

OLEH: Ustaz Hj Mohd Zakuan Hj Tak

Bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar benar taqwa iaitu dengan mengerjakan segala amalan yang diperintahkan dan meninggalkan segala larangan. Mudah-mudahan mendapat kebahgiaan hidup dunia dan akhirat.


" Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kepada kamu berpuasa sepertimana diwajibkan kepada orang-orang yang sebelum kamu supaya kamu bertaqwa.…..Al-Baqarah 183.
Sidang jumaat yang dirahmati sekalian,

Ramadhan Al-Mubarak telah menemui kita semua. Alhamdullilah, kita bertemu sekali lagi dibulan yang penuh dengan keberkatan, ganjaran pahala digandakan untuk yang mengerjakan amalan wajib dan sunat.

* Bulan yang diampunkan dosa kepada yang memohon doa.
* Bulan yang ditunggu dan dirindui oleh orang-orang yang cintakan ibadah, manakala pemergiannnya akan diratapi dan ditangisi kerana kelebihannya yang terdapat dibulan Ramadhan tidak akan sama dengan 11 bulan yang lain.
* Bulan yang mana telah diturunkan kitab suci Al-Quran kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
* Bulan yang mengandungi satu malam jika bertepatan kita beribadat pada malamnya adalah sama dengan beribadat 1000 bulan.
* Bulan dimana setiap pintu pintu syurga dibuka lebar dan ditutupi pintu pintu neraka, manakala iblis dan syaitan akan di rantai dan dibelenggu.

Begitulah maksud hadis Rasulullah SAW mengenai kelebihan Ramadhan.


Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,
Peringatan demi peringatan diberikan kepada sekalian mukmin, supaya sama-sama mempertingkatkan amalan masing-masing dibulan mulia ini. Pada siang harinya kita diwajibkan berpuasa, yakni menahan diri dari tidak makan dan tidak minum sambil mengelakkan hati dan seluruh pancaindera dari melakukan sebarang perbuatan dosa yang boleh membatalkan dan mengurang pahala puasa. Banyak perkara yang tanpa disedari boleh mengakibatkan batalnya puasa sesaorang itu. Lantaran dari kejahilan dan menurut kata nafsu yang sentiasa diruntun oleh Iblis maka banyak diantara kita yang berpuasa sedangkan natijahnya tidak berpuasa. seperti sabda Rasulullah SAW: yang bermaksud: Adakalanya orang berpuasa itu tidak mendapat pahala apa-apa hanya yang mereka dapat lapar dan dahaga sahaja.
Sidang jumaat yang dirahmati sekalian,
Seharusnya kedatangan bulan Ramadhan tahun ini, kita perlu berazam tinggi untuk meningkatkan ibadah puasa lebih baik dari Ramadhan ditahun tahun yang lalu. Kalau dulu kita tidak pernah melakukan 20 rakaat tarawikh, maka tahun ini kita cuba, atau ditahun lalu tidak sepatah ayat Quran yang kita bacai, maka kita berazam ditahun ini akan mula membaca quran bertadarus bersama dengan anak isteri. Kalau tahun lalu masjid dan surau tidak kita jeru, maka tahun ini berazam untuk datang pada setiap malam. Maka khutbah jumaat hari ini ingin mengajak tuan-tuan sidang hadirin sekalian supaya mempertingkatkan ibadah puasa masing masing ketahap puasa yang paling tinggi seperti puasanya para para ambia dan sahabat-sahabat baginda SAW..


Ketahuilah saudara ku sekalian,
Bahawasanya berpuasa Ramadhan itu hanya sahnya apabila melakukan niat pada malamnya. Maka amatlah malang sekali jika diantara kita yang tidak berniat langsung pada malamnya, maka tidak sahlah puasanya pada esok hari. Oleh itu mengajar anak bini seisi keluarga berniat pada malam pertama Ramadhan adalah suruhan wajib yang patut kita tunaikan bersama. Seandainya isteri dan anak-anak tidak berniat puasa atas kegagalan kita mengajar mereka pada malam tersebut, maka kalian telah melakukan satu kesilapan besar dan berdosa. Oleh itu, kita sebagai pemimpin keluarga maka wajib kita berniat pada setiap malam dengan lafaznya : Nawaitu Saumaqoddin An adaie, farddai romadzana ha zihi sanati lilillah hitangala …. Yang bermaksud : Sahaja aku berpuasa esok hari bulan ramadhan tahun ini kerana allah SWT. Kemudian kita disunatkan pula menambah dan meraikan niat mazhab hanafi untuk berniat puasa sebulan ramadhan dengan lafaz niatnya yang bermaksud: "Sahaja aku puasa sebulan ramadhan tahun ini kerana Allah SWT."


Jadi sesudah berniat demikian rupa, maka seandainya kita terlupa untuk berniat Nawaitu Saumaqoddin pada tiap-tiap malam maka sah puasa kita. kerana kita telah berniat berpuasa sebulan mengikut amalan mazhab hanafi. Oleh itu peluang dan ruang masih ada untuk mentelaah kembali kitab kitab feqah atau buku teks agama kepunyaan anak anak kita dirumah, tentang bagaimana melakukan niat puasa Ramadhan. Kerana tidak dinafikan ada diantara kita yang telahpun lupa bagaimana cara berniat puasa Ramadhan, kerana kedatangannya hanya setahun sekali.


Muslimin yang dirahmati sekalian,
Dibulan Ramadhan nanti. Rasululllah mengingatkan kita umatnya, supaya memperbanyakan amalan dan ibadat seperti sembahyang berjemaah, sembahyang sunat tarawikh, membaca al-quraan dan amalan bersedekah. Kerana ibadah wajib yang kita buat akan diganjarkan dengan 700 kelebihan manakala amalan sunat yang dikerjakan akan diberikan ganjaran sama seperti mengerjakan ibadah wajib.
Satu lagi amalan mulia yang perlu dilakukan ialah amalan bersedekah. Bersedekah yang paling utama ialah memberi makan dan minum kepada orang orang yang berbuka puasa. Terutama kepada gulungan dhoif dan miskin. Maka gulungan seumpama ini lah yang perlunya kita berlumba dan mencari-cari untuk memberi makanan kepada mereka. Mereka boleh kita jemput berbuka puasa dirumah ataupun disumbangkan kepada masjid dan surau bagi tujuan menaja jamuan berbuka puasa. Tetapi kadang-kadang dibulan Ramadhan ini kita menjadi lebih kedekut dari bulan bulan yang lain, terutama jika hendak bersedekah wang ringgit. Terketar-ketar tangan untuk memberi sedekah kepada masjid dan surau serta gulungan fakir dan miskin. Berkira kira sangat untuk membuat jariah, sedangkan jariah yang kita sumbangkan diatas dunia inilah, yang kekal sebagai saham kekal diakhirat nanti, manakala pembaziran dan aliran wang yang tidak berfaedah yang kita laburkan diatas dunia ini akan menjadi debu yang berterbangan, yang tidak menjanjikan apa apa pulangan pahala. Semua makanan enak yang kita telan selama harini, akan menjadi najis yang busuk dan menjijikan. Manakala setiap pakaian cantik dan mahal yang kita pakai hanya berupaya menjadi perca kain yang huduh dan lusuh disatu hari nanti. Mimbar ingin memberi peringatan keras kepada para jemaah sekalian, kerana ada diantara warga kita yang apabila datang sahaja pihak Masjid atau surau kerumah untuk memungut derma, bagi membiayai perbelanjaan aktiviti Ramadhan dimasjid atau surau, sengaja memandang acuh tak acuh dengan sebelah mata. bermacam-macam alasan diberi, "Tak ada duit kecil waktu ini." "Saya tak sembahyang disurau ini.." " Boleh datang dilain hari" atau , " Besok saya akan kasi" . Dan ada yang lebih parah lagi, yang sanggup menyembunyikan diri apabila datang jawatankuasa masjid menagih janji. Pemungut wang bertauliah diluar memberi salam berkali-kali, kita mendengar tetapi takut menjawab dan terpaksa berlakun pekak dan tuli, hingga mereka berlalu pergi, baru kita keluar setelah tersepit bersembunyi dan berpeluh dicelah almari. Mengapa kita begitu takut dengan kedatangan mereka membawa lis derma seumpama ini. Mereka bukan Along atau ceti, memaksa untuk memberi, Tidak berduit katakan tiada, biar mereka beredar pergi, Jika tidak diberi tuan-tuan tidak diherdik atau dicaci. Tetapi tidak malukah tuan-tuan kepada Allah SWT yang memberikan ribuan ringgit setiap bulan sebagai imbuhan gaji. Sombong dan takbur rupanya menjadi pakaian diri. Kalau RM10.00 yang diberi, luakkah pendapatan kita itu. Bukan setiap hari tetapi setahun hanya sekali. Oleh itu saudara saudara seagamaku sekalian, jangan terlalu kedekut dengan rezeki yang Tuhan beri. Sumbangan seringgit dua yang tuan-tuan beri, akan dicairkan kepada perkara kebajikan yang akan menyelamatkan tuan-tuan sendiri dari bakaran api neraka diakhirat nanti.


Sidang jumaat yang berbahagia.
Oleh itu saya mengingatkan diri saya sendiri dan sidang jumaat sekalian, supaya mencari ruang dan peluang untuk berlumba membuat amal kebajikan dibulan Ramadhan nanti, terutama didalam amalan bersedekah.
Hari ini setiap masjid dan surau ada mengadakan program bacaan tahlil arwah khusus kepada muslimin muslimat yang telah meninggal dunia. Nama nama arwah ini didapati dari pemberian serta jariah yang diberikan oleh anak cucu yang masih hidup. Maka setiap malam para jemaah dimasjid dan surau akan bertahlil kepada nama-nama yang dijariahkan itu. Nama nama arwah ini tidak akan sampai kepada jawatankuasa masjid atau surau, jika kita sebagai anak atau cucu tidak memberikan nama ini kepada mereka. Bermakna jika kita tidak menjariahkan untuk arwah tahlil kepada mereka, maka roh ibubapa kita akan menanti dan menanti tetapi kecewa, sedangkan roh ibubapa orang lain tidak putus-putus menerima pahala tahlil yang diutuskan oleh anak anak mereka yang soleh diatas dunia ini. Oleh itu buangkan seringgit dua untuk arwah ayah dan bonda, sebagai mengingati mereka dialam barzah sana. Lupakan kita berapa banyak wang ringgit ayah kita yang dikorbankan untuk menjadikan kita orang yang berjaya seperti hari ini. Tetapi untuk membuat kebajikan atas arwah arwah mereka yang telah meninggal amat kita abaikan.

Monday, August 2, 2010

Pembersihan tapak masjid at-taqwa,bdr bukit mahkota @ 8-8-2010...



assalamualaikum,

sms terkini diterima daripada setiausaha jawatankuasa pembinaan masjid at-taqwa,bdr bukit mahkota
" Salam, insya-allah pihak MPKj akan melakukan kerja-kerja pembersihan tapak masjid At-Taqwa,Bdr bukit Mahkota pada hari Ahad/8-8-2010. Sebelum itu,mereka akan turun untuk "site survey" pada jam 9pagi esok 3/8/2010. Sesiapa yang ada kelapangan masa, bolehlah turut serta esok".cc Pengerusi.

Jom kita sama-sama turun gotong royong pada tarikh Ahad/8-8-2010.
Kerjasama semua adalah amat dihargai.

Sekian.

Dilaporkan oleh,
AJK Penerangan,
Jawatankuasa Pembinaan Masjid At-Taqwa,
Bdr bukit Mahkota,Bangi.

Selamat Menyambut Ramdhan al-mubarak 1431H..

Assalamualaikum,

Jawatankuasa Pembinaan Masjid At_takwa,bdr bukit mahkota ingin mengucapkan ahlan wa sa lan & selamat menyambut Ramadhan al-mubarak kepada semua umat islam..moga puasa pada tahun ini mendapat redha Allah swt.



Wednesday, July 7, 2010

Terkini : Perkembangan Masjid At-Taqwa, Bdr Bukit Mahkota...



Assalamualaikum,
Dimaklumkan pihak jawatankuasa pembinaan masjid at-Taqwa,Bdr Bukit Mahkota menerusi setiausanya,Sdr Junaidi telah berhubung dgn timbalan pengarah unit pembangunan JAIS, Ust Ahmad Fitri Bin Ahmad bertanyakan status terkini perkembangan masjid at-taqwa. Alhamdullilah, beliau menyatakan bahawa masjid At-taqwa,Bdr bukit Mahkota telah tersenarai didalam perancangan RMK-10. Namun demikian, pihak jawatankuasa akan berhubung dengan JPN agar disegerakan pembinaan tersebut.

Disamping itu juga, pihak jawatankuasa masjid juga sedang menempah papan tanda Masjid At-taqwa,Bdr Bukit mahkota.Insya-allah, akan disiapkan dalam tempoh terdekat.
Selain itu,permohonan kutipan derma telah dimajukan kepada pihak MAIS.

Semoga usaha yang dibuat ini mendapat redha Allah swt.

Sekian.

Monday, June 21, 2010

“PENGUKURAN KASIH SAYANG TERHADAP IBU BAPA”...




“PENGUKURAN KASIH SAYANG TERHADAP IBU BAPA”

(18 JUN 2010 / 5 REJAB 1431H)



Muslimin yang di Rahmati Allah,


Marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan orang yang mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat.


Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “PENGUKURAN KASIH SAYANG TERHADAP IBU BAPA”.


Muslimin yang di Rahmati Allah,


Islam mengajar umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa. Segala jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan sejak di alam rahim sehingga kita dilahirkan begitu besar pengorbanannya. Merekalah yang bertanggungjawab mencari nafkah dan mendidik kita sehingga dewasa. Mereka juga sanggup mengorbankan nyawa dan kepentingan diri demi mengharungi pelbagai cabaran untuk masa depan anak-anak.


Marilah kita merenung kembali semasa kita kecil dulu apa yang telah dilakukan oleh kedua ibu bapa kita, merekalah yang memberi susu kepada kita, menyuap makanan ke mulut kita, memandikan kita, memakai pakaian kepada kita, mendodoi dan menidurkan kita, membersihkan najis dan segala kotoran di badan kita, menghantar kita ke sekolah demi melihat anaknya ini menjadi insan berguna di kemudian hari.


Kasih ibu bapa kepada anak-anak berpanjangan sepanjang hayat, pengorbanan dan kudrat dicurah siang -malam, hanya tahu memberi dan tidak mengharapkan apa-apa balasan dari anak kerana menginsafi anak itu adalah lahir dari kandungannya yang dijaga penuh selama sembilan bulan.


Mimbar menyeru ingatlah apa yang kita miliki pada hari ini, harta, pekerjaan, pangkat, kesenangan dan keluarga kita adalah hasil dari pengorbanan mereka. Tanpa mereka kita tidak dapat melihat dunia ini dan tanpa nasihat dan pengorbanan mereka kita tidak akan memiliki semua ini. Sehubungan itu, kita sebagai anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap mereka. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada anak dan membalas jasa ibu bapa mereka.


Firman Allah SWT dalam surah al-Israk ayat 23-24:

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”


Muslimin yang di Rahmati Allah,


Tidak dapat dinafikan bahawa kasih sayang seorang ibu mengatasi segalanya, tidak dapat dinilai dengan emas dan perak, tidak dapat dibayar dengan wang ringgit. Berdasarkan sifat dan naluri keibuan, maka tidak hairan kasih sayang dan pengorbanannya melebihi segalanya.


Tidak hilang dihati seorang ibu perasaan rindu terhadap anak-anaknya walaupun sesaat, kadang-kala ibu tidak dapat menyuap makanan ke mulutnya dan melelapkan matanya kerana teringatkan anak-anaknya ini dan ada ketikanya air mata berlinangan mengalir membasahi dipipinya kerana mengenang dan merindui akan anak-anak. Mimbar mengingatkan, bilakah kali terakhir kita bertemu dengan mereka, menatap wajah dan mencium tangan mereka?.Ambillah kesempatan yang ada semasa hidup sebelum mereka pergi buat selama-lamanya.

Kebiasaan kita sebagai anak akan lebih mengingati dan menyebut nama ibu. Jika kita ada masalah kita akan luahkan kepada ibu, kita lebih suka berkongsi perasaan dengan ibu, jika kita sakit, kita lebih suka ibu yang jaga. Kalau hendak makan, kita lebih suka ibu yang masak dan suapkan. Sehinggakan untuk memasuki gerbang perkahwinan pun, masih mengharapkan bantuan ibu.


Oleh itu, wajarlah Allah SWT memuliakan ibu sesuai dengan pengorbanannya. Firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 14:

Maksudnya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada Akulah tempat kembalimu.”


Rasulullah SAW ketika menjawab pertanyaan seorang sahabat bersabda :


Maksudnya: “Siapakah yang paling berhak saya pergauli dangan baik? Nabi bersabda “Ibumu”, Orang itu bertanya kemudian siapa lagi? Nabi bersabda “Ibumu”, Orang itu bertanya kemudian siapa lagi, Nabi bersanda “Ibumu”. Orang itu bertanya kemudian siapa lagi, Nabi bersabda : Ayahmu.”(Riwayat al- Bukhari)


Al-Bazzar meriwayatkan, ada seorang lelaki sedang tawaf dengan mengendung ibunya, maka lelaki itu bertanya kepada Rasulullah SAW, “Apakah dengan ini saya telah melaksanakan kewajipan saya kepadanya? Rasulullah SAW menjawab “Tidak, tidak sebanding dengan satu kali hembusan nafas ketika ibumu melahirkanmu.”

Betapa besarnya pengorbanan ibu-bapa, namun persoalannya kini, bagaimana pula pengorbanan anak untuk menghargai dan membalas balik jasa serta pengorbanan ibu yang tidak terhitung ini. Inilah persoalan yang perlu direnung setiap anak, apakah mereka sudah menunaikan kewajipan terhadap ibunya.



Imam Muslim meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA berkata bahawa beliau pernah bertanya Rasulullah SAW tentang amalan paling utama. Baginda bersabda: Solat pada waktunya. Beliau bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Beliau bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah”.


Muslimin yang di Rahmati Allah,


Islam menganjurkan agar setiap anak menghormati dan berbakti kepada ibu bapa selagi suruhan tersebut tidak melanggari syariat Islam. Jika anak-anak mengingkari perintah ibu bapa, maka itu adalah derhaka dan satu dosa besar walau hanya menyebut ungkapan ‘uuh’ atau ‘aah’ dikira sebagai menyakiti dan menderhaka, apatah lagi jika ada antara anak mencerca, memaki dan memukul ibu bapa mereka.


Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Abdullah bin Amru bin al-'As RA bertanya Rasulullah SAW tentang dosa besar. Sabda baginda: Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya. Tanyanya lagi: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya? Jawab Nabi SAW: Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya.


Mimbar mengingatkan jemaah dan umat Islam sekalian, bahawa menyayangi ibu bapa bukan sekadar ketika keduanya masih hidup sahaja tetapi sebenarnya berpanjangan ketika mereka berada di alam arwah atau alam kubur. Roh orang mati tetap hidup di sisi Allah. Menurut Abu Darda’, Allah SWT telah menempatkan roh orang mukmin di sebuah perkampungan di langit ketujuh yang diberi nama Darul Baida’. Dari sana roh orang mukmin sentiasa diberi peluang oleh Allah SWT untuk melihat amalan atau kegiatan manusia yang masih hidup di dunia khususnya anak-anak atau kaum kerabat mereka.


Roh sentiasa bertanya khabar kepada jenazah yang baru tiba di alam arwah terutama tentang kehidupan keluarga mereka di dunia. Setiap hari amalan umat Muhammad diangkat ke langit dan segala amalan tersebut dipertonton kepada roh ibu bapa kita. Oleh itu gembirakanlah roh ibu bapa kita dengan amalan soleh semasa kita masih hidup di duna ini. Roh–roh ibu-bapa akan sakit, tersiksa dan menderita jika melihat amalan anak-anak mereka terlibat melakukan dosa besar seperti berzina, berjudi, minum arak, rasuah, memfitnah orang, bersubahat melakukan kezaliman, penganiayaan dan perbuataan maksiat lain.


Perbuatan anak di dunia menjadi ukuran dan bukti adakah kita yang masih hidup ini sebenar-benar menyayangi ibu-bapa kita. Apalah gunanya anak-anak mengadakan majlis kenduri tahlil dan doa selamat setiap minggu, setiap tahun sedangkan perbuatan harian mereka penuh dengan maksiat, kejahatan dan melakukan dosa besar.


Rasulullah SAW bersabda:

Mafhumnya : Sesungguhnya amal-amal kamu dibentangkan kepada keluarga dan kaum kerabat kamu yang telah mati; maka kalau amal perbuatan kamu itu baik-mereka gembira mengetahuinya, dan kalau sebaliknya, mereka (berdoa untuk kamu dengan) berkata : ‘ Ya Allah Ya Tuhan kami, berilah kaum kerabat kami yang hidup itu hidayah pertunjuk, sebagaimana engkau telah member hidayah petunjuk kepada kami (sehingga kami mati dalam iman)’. (Riwayat Imam Ahmad dan al-Tirmizi)


Muslimin yang di Rahmati Allah,


Bersempena dengan kedatangan bulan Rejab yang diketahui mempunyai banyak kelebihan, marilah kita sama-sama mengambil kesempatan untuk melipatgandakan ibadah dan memperbanyakkan amalan sunat. Antaranya berpuasa sunat sekurang-kurangnya satu hari dari bulan Rejab, bersedekah dan menziarahi ibu bapa.


Perlu diinsafi, ketidakredhaan ibu-bapa kepada sikap keji anak-anak ini mengundang kemurkaan Allah SWT. Selama mana kita tidak diredhai oleh ibubapa, selama itu juga kita hidup dalam kemurkaan dan derhaka terhadap Allah SWT, sepertimana kisah Alqamah di zaman Rasulullah yang mengutamakan isterinya berbanding ibunya sendiri. Akhirnya ketika hampir meninggal dunia dia tidak dapat mengucap dua kalimah syahadah kerana ibunya enggan memaafkannya.


Mimbar menyeru, marilah sama-sama kita menzahirkan perasaan kasih sayang terhadap ibu setiap masa. Memberi kasih sayang kepada mereka bukan sekadar memberi hadiah bahkan seluruh jiwa dan raga kita serahkan kepada ibu. Mimbar menyeru jemaah dan umat Islam sekalian, gembirakanlah mereka dan carilah keredhaan mereka serta perbanyakkanlah doa keampunan kepada mereka.


Budayakanlah amalan memuliakan dan menghormati ibu-bapa di sepanjang kehidupan kita dan janganlah hanya dibuat pada masa-masa tertentu sahaja.

Ambillah kesempatan yang ada ini untuk menyayangi sebelum mereka didatangi ajal. Mengakhiri khutbah marilah kita mengambil beberapa pengajaran penting berikut:

Pertama : Kepentingan menjaga ibu lebih utama daripada perang di jalan Allah.


Kedua : Berbuat baik kepada ibu- bapa mestilah menjadi keutamaan yang paling atas selepas kewajipan kepada Allah dan Rasul-Nya.


Ketiga : Redha Allah adalah terletak pada redha kedua ibu-bapa dan kemurkaan Allah terletak pada murka kedua ibu bapa.


Keempat : Roh ibu-bapa akan sakit dan terseksa jika anak-anak yang masih hidup melakukan amalan yang bercanggah dengan ajaran Islam.



Sebagai renungan hayatilah firman Allah SWT dalam firman-Nya:

Maksudnya: “Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”(Sural al-Israa’:24)


Sumber : http://www.islam.gov.my/khutbahjakim/upload/doc/Pengukuran%20Kasih%20Sayang%20Ibu%20Bapa%20Terhadap%20Anak-anak%20(rumi).doc

Friday, June 4, 2010

Khutbah jumaat : “SELAMATKAN MASJIDIL-AQSA”...




Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada
Allah Subhanahu Wata’ala dengan sebenar-benar taqwa sama ada dalam
keadaan terang atau tersembunyi. Marilah kita bersama-sama berusaha
memelihara dan mengelakkan diri kita daripada azab Allah Subhanahu Wata’ala
dengan melaksanakan amal-amal soleh dan menjauhi setiap larangan-Nya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Palestin telah melalui sejarah yang panjang dalam tamadun manusia dan
menjadi rebutan kepada tiga agama. Namun demikian, Palestin mempunyai
kedudukan yang istimewa di dalam hati setiap muslim sejak zaman-berzaman.
Keistimewaan Palestin seperti yang terdapat di dalam Al-Quran, Al-Hadith dan
Kitab-kitab Sejarah ialah:
1. Sebagai qiblat pertama umat Islam.
2. Terdapat Masjidil-Aqsa iaitu masjid kedua yang dibina di atas muka
bumi. Dan masjid ketiga paling suci selepas Masjidil-Haram dan
Masjidin-Nabawi .
3. Tempat berlakunya Israk dan Mikraj.
4. Harta wakaf umat Islam sehingga ke hari qiamat.
5. Tempat kelahiran Para Anbia’
Kezaliman yang dilakukan oIeh rejim Zionis yang bermula pada tahun 1948
setelah terbinanya negara haram Israel telah menyaksikan bukan sahaja isu-isu
kemanusiaan semata-mata tetapi lebih daripada itu. Ia melibatkan isu akidah
Khutbah Jumaat 11 Jun 2010 : Selamatkan Masjidil-Aqsa
Jabatan Agama Islam Selangor
3
umat Islam , tanahair, maruah dan peradaban.
Sesungguhnya bumi Palestin yang terdapat di dalamnya qiblat pertama
umat Islam adalah watan yang perlu dipertahankan oIeh umat Islam seluruh
dunia. Apatah lagi Masjidil-Aqsa yang merupakan persinggahan Rasululah
s.a.w. sebelum dimikrajkan ke langit, sekarang ini terancam dengan apa yang
dilakukan oIeh Yahudi laknatullah terhadap masjid yang mulia ini. Firman Allah
dalam Surah Al-Isra’ ayat 1:
Bermaksud: "Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad)
pada malam hari dari Masjidil-Haram (di Mekah) ke Masjidil-Aqsa (di Palestin)
yang kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepada-Nya tanda-tanda
(kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui".


Seterusnya sila ke link berikut:
http://www.jais.gov.my/khutbah/2010/jun/khutbahjumaat%28rumi%2911062010.pdf


sumber : JAIS.

Tuesday, June 1, 2010

Akaun bank bagi Masjid At-Taqwa,Bdr bukit Mahkota...

Alhamdullilah, adalah dimaklumkan nombor akaun bank :

MASJID AT-TAQWA BANDAR BUKIT MAHKOTA

Nama Bank : BANK ISLAM MALAYSIA

No Akaun : 1601801-001547-2

Thursday, May 13, 2010

Takzirah: Menghalang fungsi masjid bererti meruntuh masjid



Firman Allah S.W.T dalam ayat 114 Surah Al-Baqarah bermaksud: "Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalang daripada menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut / mengingati nama Allah di dalamnya, dan dia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar."

Para mufassirun atau ulama-ulama tafsir khilaf (berselisih pendapat) dalam menyatakan sebab nuzulnya atau sebab turunnya ayat 114 surah al-Baqarah di atas.

Mengikut riwayat al-Kalbi daripada Ibnu Abbas katanya, ayat ini bersempena dengan serangan Putlos iaitu seorang Maharaja Rom ke atas Masjid Al-Aqsa, lalu masjid itu dirobohkan.

Mengikut satu riwayat yang lain daripada Qatadah, sebab turun ayat ini bersempena dengan serangan Bakhtanuso ke atas masjid tersebut di mana rumah Allah itu dibakar hangus.

Mengikut riwayat Ibnu Abbas dalam satu riwayat yang lain, ayat ini bersempena dengan tindakan yang dilakukan oleh orang-orang kafir Makkah yang menghalangi Nabi Muhammad s.a.w. bersembahyang dan mengajar agama di masjid Makkah.

Walaupun ayat ini sebab nuzulnya ada tetapi mengikut kaedah hukum yang berdasarkan kepada Usul Tafsir iaitu pengajaran itu diambil daripada lafaznya yang umum, bukan daripada sebabnya yang khusus.

Yang dimaksudkan dengan mengingati Allah di sini seperti yang dinyatakan oleh as-Syawkani dan beberapa mufassirun (ahli-ahli tafsir), termasuk di dalamnya bersembahyang, membaca al-Quran, berzikir, menghalang orang mengajar dan belajar agama di dalam masjid termasuk di dalam ayat ini.

As-Syawkani mengatakan, "dan dikehendaki menegah masjid bahawa disebut nama Allah padanya, Allah mencegah perkara yang berlaku padanya termasuk sembahyang, membaca al-Quran berzikir dan mengajar.

Dikehendaki dengan meruntuhkan masjid itu bukan dengan makna merobohkan bangunannyasahaja, tetapi juga berusaha untuk meruntuhkan tujuan-tujuan masjid itu dibina kerananya, umapamanya mengganggu ketaatan-ketaatan yang dilakukan padanya yang didasarkan masjid ke atasnya, merupakan suatu yang umum."

Berdasarkan kepada apa yang dilakukan oleh Abu Jahal kepada Nabi Muhammad s.a.w., di mana Abu Jahal menghalang Nabi s.a.w. beribadat di masjid, menghalang baginda ntuk mengajar dan menerangkan hukum agama di dalam masjid.

Oleh kerana itu, menjadi amalan kepada Nabi s.a.w. dan para sahabatnya, tidak melarang orang mengajar agama di dalam masjid. Apabila dilihat seseorang yang diragui mengajar agama di dalam masjid dan bimbang kalau mengajar perkara yang tidak benar, dia perlu dipanggil dan disoal siasat tentang apa yang diajarkannya.

Kalau apa yang diajar itu perkara yang benar, dia tidak boleh dihalang dan dicegah. Barang siapa yang mencegah orang yang mengajar adalah hukuman yang termasuk dalam meruntuhkan masjid dan mencegah manusia daripada mengingati Allah di dalamnya.

Termasuk juga dalam mencegah manusia mengingati Allah dalam masjid ialah mereka yang mengunci masjid kononnya untuk menjaga keselamatan masjid.

Jaga keselamatan masjid bukan cara menguncinya. Jaga keselamatan masjid ialah dengan menghidupkan masjid itu dengan zikrullah serta melakukan kerja-kerja kebajikan yang ada hubung kaitnya dengan kegiatan masjid.

Satu kekeliruan apabila Islam hanya di masjid

Boleh jadi ada orang yang berkata, sekiranya masjid itu tidak dikunci nanti ia akan dimasuki penagih dadah, pencuri dan seumpanya. Sebab berlaku begitu kerana kita merasakan Islam itu hanya di masjid sahaja.

Antara sebab lain ialah kerana di luar masjid, Islam tidak dilaksanakan, dengan sebab itu hubungan antara masjid dengan luar masjid tidak dapat diselaraskan.

Mengapa orang yang melakukan kejahatan suka masuk ke dalam masjid untuk melakukan kejahatan? Ini kerana di luar masjid berjalan undang-undang jahat yang tidak berlandaskan kepada hukum Allah SWT, sebab itulah huru-hara boleh berlaku dalam masjid dan di mana-mana sahaja.

Kita mestilah mengetahui bahawa hukum agama Allah ini bukan sahaja dilaksanakan dalam masjid, tetapi juga di luar masjid.

Yang menjadi kacau-bilau hari ini kerana kita bimbang kalau-kalau masjid diganggu kerana kita tidak melaksanakan Islam di luar masjid.

Apabila Islam tidak dilaksanakan di luar masjid, maka berlakulah perkara yang tidak selaras dalam masalah keselamatan masjid sehingga kita membuat undang-undang sendiri dan undang-undang yang bercanggah dengan Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad s.a.w.

Kita hendaklah memhami bahawa yang dikatakan memakmurkan masjid itu ialah seperti yang disebut oleh Allah SWT di dalam firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya hanya yang memakmurkan masjid itu ialah seseiapa yang beriman dengan Allah dalam erti kata yang sebenarnya ( Surah at-Taubah, ayat 18).

Bukan dalam makna yang tidak sebenar iaitu beriman dengan sebahagian sahaja daripada ajaran Allah dan yang sebahagian lagi tidak beriman.
Orang yang beriman sebahagian sahaja daripada ajaran Allah SWT tidak layak untuk memakmurkan masjid dan disebut ayat berikut iaitu mereka yang beriman dengan hari akhirat.

Orang yang memakmurkan masjid ialah orang yang percaaya kepada hari akhirat bukan sebaliknya, dan mereka yang mendirikan solat. Iaitu orang yang mendirikan solat inilah orang yang memakmurkan masjid. Orang itu mestilah mendirikan solat, kalau kerajaan, kerajaan itu hendaklah mendirikan solat juga.

Apa makna kerajaan mendirikan solat? Makna memakmurkan masjid ialah kerajaan yang jemaah menterinya dan ketua-ketua negaranya menunaikan solat lima waktu, bukan solat sunat hari raya dan solat Jumaat sahaja.

Mereka juga hendaklah menjalankan undang-undang yang memerintah supaya orang mengerjakan solat. Kalau dalam negara itu tidak ada undang-undang demikian serta menghukum orang yang tidak solat, maka tidak dinamakan pemerintah yang mendirikan solat. Kerajaan seperti itu tidak layak untuk memakmurkan masjid.

Dan juga ciri terakhir ialah mengeluarkan zakat. Orang yang memakmurkan masjid ialah orang yang menunaikan zakat. Apa kena mengena memakmurkan masjid dengan menunaikan zakat? Orang yang menunaikan zakat ini ialah orang yang tahu tanggungjawab harta bendanya dengan menunaikan zakat mengikut hukum-hukum agama yang ditetapkan Allah dan Rasulullah s.a.w.

Sumber : Harakahdaily/

Wednesday, May 12, 2010

Persiapan penentuan arah kiblat Masjid At-Taqwa,bdr bukit mahkota..




Assalamualaikum,

Semalam/11-5-2010 telah diadakan perbincangan di rumah pengerusi, Hj Khair berkaitan dengan persiapan yang diperlukan bagi penentuan arah kiblat Masjid At-Taqwa,Bdr bukit mahkota yang dijadualkan jam 11.30pagi pada Khamis/13-05-2010.Rupanya banyak juga perkara yang perlu disediakan bagi tujuan tersebut.Insya-allah,semua perkara tersebut akan disediakan oleh AJK penaja pembinaan Masjid At-Taqwa.Diputuskan juga didalam pertemuan tersebut yang dihadiri oleh setiausaha, Sdr Junaidi & ajk untuk dibersihkan tapak masjid at-taqwa pada petang rabu/12-05-2010 & kelulusan peruntukan kewangan sebanyak anggaran RM300 bagi tujuan penentuan arah kiblat ini. Sesiapa yang mempunyai kelapangan masa, jom kita sama-sama turun membantu usaha pembersihan tapak Masjid At-Taqwa sebelum penentuan arah kiblat yang akan ditentukan oleh Pejabat Falak Selangor keesokan harinya.
Agenda utk hari ditentukan arah kiblat Masjid At-Taqwa,bdr bukit mahkota.(13-5-2010)
1.Doa.
2.Taklimat oleh pengerusi & pegawai Pejabat Falak Selangor.
3.Kerja Penentuan arah kiblat.
4.Jamuan.

Sekian.Untuk makluman semua.

Tuesday, May 11, 2010

Penentuan arah kiblat di tapak Masjid At-Taqwa...






Assalamualaikum,

Alhamdullilah, pihak Jabatan falaq Selangor akan menentukan arah kiblat tapak Masjid At-Taqwa pada hari Khamis/13-05-2010 jam 11.30 pagi.
Kepada sesiapa yang mempunyai kelapangan masa dijemput hadir bersama-sama.
Insya-allah.

Sama-sama kita doakan agar usaha mendirikan masjid at-Taqwa ini diberkati Allah swt.

Dilaporkan oleh:
AJK Masjid At-Taqwa.

Monday, May 3, 2010

Titah Penuh DYMM Sultan Selangor Berkaitan Pengurusan Masjid




PEMBERITAHUAN

Menjunjung Titah Perintah
Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhajyang menitah dan mengingatkan kepada pegawai masjid dan Jawatankuasa Kariah Masjid bahawa:


1. Pemegang Amanah Tunggal
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hendaklah menjadi pemegang
amanah tunggal bagi semua masjid dalam negeri Selangor.
Seksyen 96 (1), Enakmen Pentadbiran Agama Islam
(Negeri Selangor) 2003


2. Penggunaan Masjid
Masjid-masjid di negeri Selangor hendaklah digunakan sebagai:
a. Tempat untuk orang-orang Islam beribadat, terutamanya
untuk mendirikan solat fardhu lima waktu dan solat Jumaat;
b. Pusat kegiatan agama Islam dan penyebaran dakwah; dan
c. Pusat sumber maklumat penduduk dan maklumat tentang
MAIS dan maklumat lain.

Masjid tidak boleh digunakan sebagai:
a. Gelanggang politik yang boleh menyakiti dan
memecahbelahkan perpaduan ummah
b. Hotel, rumah tumpangan atau tempat penginapan.

Kaedah 34 (1) dan (2), Kaedah-Kaedah Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Kariah (Negeri Selangor) (Pindaan) 2001


3. Tauliah Ceramah Dan Mengajar
Penceramah di masjid-masjid hendaklah mempunyai tauliah dan mana-mana orang yang mengajar tentang Agama Islam atau perkara-perkara tentang Agama Islam tanpa tauliah yang diberikan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 119 (1), Enakmen Pentadbiran Agama Islam
(Negeri Selangor) 2003


4. Menjaga adab-adab semasa di dalam masjid seperti:
a. Solat Tahiyatul Masjid dan Niat Iktikaf
b. Sentiasa menyebut nama Allah
c. Menghentikan percakapan berunsur cacian,
memfitnah, menyakiti hati dan menghina Islam

5. Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Kariah
a. Setiap masjid hendaklah ditadbirkan oleh pegawai masjid
dan suatu Jawatankuasa Kariah
Kaedah 6 (1), Kaedah-kaedah Pegawai Masjid dan Jawatankuasa
Kariah (Negeri Selangor) (Pindaan) 2001


b. Nazir sesuatu masjid hendaklah mengetuai pengurusan
dan pentadbiran masjid
Kaedah 15 (a), Kaedah-kaedah Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Kariah (Negeri Selangor) (Pindaan) 2001

c. Dalam melaksanakan tugasnya, pegawai masjid dan
Jawatankuasa Kariah hendaklah tertakluk kepada kawalan
dan arahan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Seksyen 103, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003
Kaedah 6 (4), Kaedah-kaedah Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Kariah (Negeri Selangor) (Pindaan) 2001


6. Menghina Pihak Berkuasa Agama
Mana-mana orang yang bertindak dengan cara yang menghina
kuasa yang sah, atau mengingkari, melanggar, atau
mempertikaikan perintah atau arahan –
a. Duli Yang Maha Mulia Sultan atas sifat Baginda
sebagai Ketua Agama Islam;
b. Majlis Agama Islam Selangor (MAIS);
c. Mufti, yang dinyatakan atau diberikan fatwa,


adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Seksyen 12 (a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995


“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor turut menitah dan berpesan kepada semua orang Islam khususnya orang Melayu sentiasa mengeratkan perpaduan dan persefahaman”


Sebarang aduan sila hubungi:
Hotline: 1-800-88-2424 (Penguatkuasa JAIS)
SMS: 019-6565 400/019-6565 400
Email: mail@mais.gov.my
Laman web: www.mais.gov.my
18 September 2009
28 Ramadhan 1430H



PENGERUSI
MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR

DATO' SERI UTAMA DIRAJA
MUFTI SELANGOR

PENGARAH
JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR

sumber : http://www.mais.net.my

Bicara ilmu : Masjid Wahana Transformasi Ummah



Masjid Wahana Transformasi Ummah
Bersama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktutr dan Kemudahan Awam, Dato’ Dr Hassan Mohamed Ali.

SOALAN :

1. APA PANDANGAN DATO’ MENGENAI PERKEMBANGAN MASJID-MASJID DI NEGERI SELANGOR?

Alhamdulillah dewasa ini saya dapat melihat perkembangan masjid dan surau semakin baik dan permintaan untuk mendirikannya di kawasan-kawasan perumahan baru dan taman-taman amat memberangsangkan, namun kita juga dalam usaha untuk memperkasakan dari sudut pengisian, pentadbiran dan pengurusan agar masjid ini benar-benar menjadi wahana transformasi ummah.

Sehubungan dengan itu setelah saya, Timbalan Pengarah dan Ketua-Ketua Penolong Pengarah dan Pegawai-Pegawai Kanan JAIS melawat masjid-masjid di Singapura pada Julai lepas mendapati bahawa di Negeri Selangor perlu kepada perubahan gaya dan catra mengurus dan mentadbir masjid terutamanya perlu kepada kepimpinan masjid baru yang ada wawasan untuk pembangunan masjid samada dari sudut aktiviti pengimarahan masjid, pentadbiran, kemasyarakatan, keceriaan, sumber maklumat, ekonomi, tarbiyyah dan riadhah. Oleh itu faktor umur penjawat Pegawai dan Jawatankuasa Masjid adalah dicadangkan 60 tahun ke bawah dan dicalonkan daripada mereka yang sekurang-kurangnya ada kelayakan akademik dari SPM, diploma, ijazah dan ke atas.

2. ADAKAH DATO’ BERPANDANGAN BAHAWA INSTITUSI MASJID DI SELANGOR SELAMA INI TELAH MELAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB YANG SEPATUTNYA, BAGAIMANA?

Alhamdulillah kita tidak nafikan sebahagian amanah yang asas seperti mendirikan sembahyang lima waktu, Sembahyang Jumaat dan sedikit pelaksanaan tazkirah dan kuliah telah dilaksanakan tetapi ia tidak cukup syarat untuk masjid dijadikan sebagai wahana tranformasi ummah sedangkan tugas dan tanggungjawab kita belum digembelingkan sehingga ke peringkat maksimum. Dari sudut pentadbiran dan pengurusan umpamanya, kita perlu jana masjid-masjid dan surau-surau agar mengikut segala arahan JAIS dan Kerajaan Negeri seperti mengemaskinikan aktiviti, kewangan, Mesyuarat Bulanan Jawatankuasa dan Pegawai Masjid, Mesyuarat Agong setiap tahun dan mengikuti kursus-kursus pengukuhan pentadbiran dan pengurusan agar ianya lebih berupaya, telus, ada pertanggungjawaban, adil dan amanah.

3. APAKAH KRETERIA YANG SEPATUT ADA PADA MASJID-MASJID DI SELANGOR INI?
Masjid dan surau di Negeri Selangor mestilah dijadikan sebagai wadah pengembelingan amal islami masyarakat dan wahana transformasi ummah melalui program mesra remaja, mesra keluarga dan mesra masyarakat. Untuk mencapai matlamat ini kita perlu menganjakkan paradigma kita ke arah:

a. Pemantapan organisasi pengurusan masjid dari segi kekompetensian pengurus dan jawatankuasa masjid;
b. Memperkasakan kurikulum dan metodologi pembelajaran Islam di masjid-dan surau;
c. Membentuk jati diri ummah menerusi masjid dengan program 3M di atas;
d. Menambah baikkan struktur pimpinan masjid;
e. Memperkukuh, menambah dan mempertingkatkan lagi tenaga-tenaga pakar dalam kepimpinan masjid;
f. Mempromosikan sistem masjid cemerlang dengan mengenakan aras kualiti sasaran seperti KPI ‘Key Performance Indeks’ kepada 50 masjid seluruh Negeri Selangor;
g. Mewujud dan meningkatkan jaringan ICT dan Ahli Jawatankuasa Kariah melalui mukim-mukim atau zon-zon yang sedia ada;
h. Masjid sebagai pusat maklumat dan kemasyarakatan yang bersifat ‘one stop centre’(aktiviti berpusat).

4. BAGAIMANA DATO’ MELIHAT PADA PERKARA PENGIMARAHAN MASJID DI SELANGOR INI DAN SIAPAKAH YANG PATUT BERPERANAN ?

Selain daripada Jabatan Agama Islam yang menjadi mentornya ianya juga patut disambut oleh badan-badan lain seperti NGO, Badan-badan koporat, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jawatankuasa Penduduk, Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dan sukarelawan selain dari Jawatankuasa dan Pegawai Masjid sediada. Pembangunan pemikiran atau anjakan sikap dan mentaliti cara berfikir kita mesti digandakan terutama Pegawai dan Jawatankuasa masjid lebih-lebih lagi dalam suasana bertambahnya gejala sosial, murtad, penagihan dadah dan sebagainya yang memang mengancam akidah umat Islam. Oleh itu suatu aktiviti atau program islah masyarakat mesti dibuat dan dilaksana oleh kita bersama terutama institusi masjid. Kita mahukan institusi masjid lebih berperanan daripada hanya sembahyang lima waktu dan menyusun satu dua program semata.
Di samping itu kita ada Ketua Pegawai Penyelaras dan Pegawai-Pegawai Penyelaras Daerah yang membantu pemantauan dan pelaksanaan program pengimarahan seluruh Negeri Selangor.
5. ADAKAH DATO’ MELIHAT JAWATANKUASA YANG DILANTIK BAGI MENGURUSKAN HAL EHWAL MASJID TELAH MEMAINKAN PERANAN YANG SEBAIKNYA?

Sebagaimana yang saya katakan tadi Jawatankuasa dan Pegawai Masjid kita perlu memainkan peranan sehingga ke peringkat maksimum agar mampu menampung kelemahan dan kekurangan dalam menguruskan masjid. Kita harapkan dengan penampilan jawatankuasa dan pegawai masjid yang bertukar sesi lepas Mei ini akan lebih perkasa dan kompeten. Menjadi tanggungjawab kita memperkukuhkan institusi masjid dengan latihan, kursus dan konvensyen agar mereka mampu berperanan sebaiknya.

6. APAKAH CIRI-CIRI YANG PERLU ADA PADA AJK MASJID YANG DILANTIK DI SELURUH MASJID NEGERI SELANGOR?

Sebagaimana pekeliling Tatacara Pencalonan Jawatankuasa dan Pegawai Masjid kita telah meletakkan sebahagian kriteria-kriteria mereka seperti umur tidak melebihi 60 tahun, mesti anak kariah, boleh membaca, menulis dan mengira.

Bagi jawatan Nazir, keutamaan akademik minima ialah mempunyai kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Pelajaran Agama (SPA)/ Empat Thanawi dan keutamaan diberi kepada calon yang mempunyai diploma dan ke atas di samping mampu mengetuai halaqah-halaqah ringan yang melibatkan Ahli Jawatankuasa dan jemaah di samping mampu mengimamkan sembahyang, menyampaikan khutbah serta mengetuai majlis tahlil.

Bagi jawatan Setiausaha, keutamaan hendaklah diberi kepada calon yang memiliki pengalaman kesetiausahaan dan pentadbiran. Jawatan Bendahari, keutamaan hendaklah terdiri daripada mereka yang memiliki ilmu dan berkemahiran dalam penyimpanan buku kira-kira dan jawatankuasa lain hendaklah terdiri dari mereka yang berlatarbelakangkan pelbagai bidang kemahiran seperti mempunyai pengetahuan agama Islam, mempunyai akhlak yang mulia dan amanah, selalu membuat amal kebajikan, sihat tubuh badan dan mental, mempunyai daya kepimpinan dan sentiasa menjalin hubungan baik dengan ahli kariah dan menunjukkan ciri-ciri kreatif serta sering membawa idea-idea baru untuk meningkatkan kemajuan masjid / surau.

7. APA YANG DATO’ MAKSUDKAN DENGAN “MASJID WAHANA TRANFORMASI UMMAH”?

Sejarah Islam membuktikan bagaimana Rasulullah SAW berjaya menjadikan institusi masjid sebagai pusat kegiatan masyarakat, pusat penyatuan dan pengislahan ummah serta menjadikan masjid sebagai pusat pengembangan ilmu dan penyebaran maklumat, semuanya bermula dari masjid. Masjid telah dijadikan sebagai tempat untuk berkumpul, berbincang dan merancang strategi dan tidak terbatas hanya di bidang dakwah, bahkan perdagangan, perundangan dan pelbagai lagi. Bermula dari sinilah terpancar cahaya Islam, pancaran ilmu, keharmonian, ihsan dan ketinggian akhlak umat Islam di seluruh pelusuk dunia.Di samping itu Baginda telah menjadikan masjid sebagai pusat ibadat, pusat pemerintahan dan pentadbiran negara, nadi gerakan Islam dan penggerak kegiatan masyarakat, tempat menuntut hak dan keadilan, pusat kebajikan, gedung ilmu serta pusat hubungan dengan Allah dan manusia sesama manusia.

Umat Islam berubah daripada menyembah berhala dan mengabdikan diri sesama manusia kepada hanya menyembah Allah dan mengikut peraturan dan undang-undang Allah SWT semata-mata. Inilah yang kita harapkan fungsi dan peranan masjid hari ini.

8. SEPERTI YANG DATO’ INGINKAN, ADAKAH SALAH SATU PERKARA YANG PERLU ADALAH MASJID SEBAGAI PEMANGKIN DALAM MEMBENTUK MASYARAKAT ISLAM YANG BERKUALITI, JELASKAN ?
Hari ini kita mahu melihat masjid bukan sahaja mampu ditadbir dan diurus dengan baik tetapi mampu menjadi penggerak, pemangkin dan sebagai agen untuk merubah masyarakat Islam khususnya daripada kurang berilmu bertambah ilmunya, tertutup minda mereka kepada terbuka, berpeluk tubuh kepada peka dan perihatin sentiasa berfikir dan bertindak bagaimana hendak mengislahkan ummah dengan program-program yang disusun, bagaimana hendak memajukan ekonomi umat Islam, politik umat Islam serta pendidikan umat Islam.

Berfikir tentang peranan masjid mampu membendung gejala sosial dan membangun masjid dengan segala prasarana ilmu, tarbiyah dan pendidikan Sebenarnya, kejayaan sesebuah masjid itu sangat bergantung kepada sejauh manakah peranan dan fungsi yang dijalankan olehnya, lebih-lebih lagi setakat manakah sesebuah masjid itu dapat menarik masyarakat Islam di sekelilingnya untuk beribadat dan menggunakan masjid tersebut untuk kebaikan dan kebajikan masyarakat.

9. BAGAIMANA PULA DATO’ MELIHAT PERANAN JEMAAH DISESEBUAH MASJID?

Tugas mengimarahkan masjid bukan hanya dibebankan kepada Pegawai dan Jawatankuasa Masjid sahaja tetapi ia merupakan tugas dan tanggungjawab ahli jemaah dan Anak Kariah masjid keseluruhannya. Contohnya kalaulah masjid menyusun banyak program tetapi kesedaran masyarakat sekeliling tidak mengambil endah dan tidak memberikan sokongan serta kerjasama, bagaimana suatu masjid itu akan maju, warganya faham Islam dan berubah sikap? Sebab itu peranan dan fungsi Anak Kariah dan jemaah orang Islam atau tepatnya penduduk Islam di sekitar sesuatu masjid itu turut penting dalam memainkan peranan mereka dalam memakmurkan masjid.

10. APAKAH CIRI-CIRI YANG PATUT ADA DI MASJID-MASJID KITA DI NEGERI SELANGOR INI AGAR IA MENJADI SEBAGAI PEMANGKIN KEPADA UMAT ISLAM KHUSUSNYA?

Saya jelaskan di atas cumanya paling minima semua Nazir-Nazir, Jawatankuasa dan Pegawai Masjid mesti boleh bekerjasama dengan Kerajaan sekarang di samping memenuhi segala keperluan masyarakat setempat dari semua kemudahan yang patut seperti masjid sebagai pusat ibadah, pusat pendidikan, pusat kegiatan sosial, pusat pembangunan masyarakat, pusat penerangan dan maklumat, pusat kehakiman, pusat perhubungan, pusat interaksi masyarakat, pusat rawatan dan kecemasan, pusat pemulihan dan pusat seni. Dan mencapai visi masjid untuk menjadikannya sebagai sebuah institusi dan sebagai ‘One Stop Centre’(pusat aktiviti) kepada masyarakat.

11. SECARA AMNYA APA PANDNGAN DATO’ BERHUBUNG DENGAN MASJID DALAM MEMBENTUK LAPISAN MASYARAKAT SETERUSNYA SEBUAH NEGARA YANG DIIDAM-IDAMKAN “ BALDATUN TAIYIBATUN WARABBUN GHAFUR”

Akhirnya apabila masjid benar-benar menjadi pusat atau centre kepada masyarakat Islam dan pengembangan ilmu berjalan dengan lancar serta bersepadu dunia dan akhirat melalui wadah masjid, apabila umat Islam faham Islam secara menyeluruh (syumul) dan hilang kejahilan, apabila umat faham tugas dia sebagai hamba, faham tugas dia sebagai khalifah, faham amar ma’ruf dan nahi mungkar dan faham jihad untuk memertabatkan umat Islam dan meninggikan syiar Islam, saya yakin masing-masing ada tanggungjawab, masing-masing ada peranan dan masing-masing ada amanah akhirnya proses untuk mengislahkan ummah dan Negara berjalan serentak dan itulah bibit-bibit mula ke arah “Baldatun Toiyyibatun Wa Rabbun Ghafur”.t.k.

SUMBER JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR
SEMPENA KELUARAN MAJALAH JAIS BIL. 2

Sunday, May 2, 2010

Alhamdullilah..JAIS dah luluskan permohonan pembinaan Masjid At-Taqwa,Bdr Bukit Mahkota...




Alhamdulillah, pada 19 April 2010, pihak JAIS dengan no rujukan bil(76)dlm JAI.SEL.BPM/01/025 telah meluluskan permohonan jawatankuasa penaja pembinaan Masjid At-Taqwa,Bdr bukit Mahkota. Satu taklimat berkenaan berita baik ini juga telah diadakan di Surau Al-Buhairah pada 19/4/2010 dengan dihadiri oleh wakil-wakil surau di bdr bukit mahkota.Berkat kesabaran dengan penantian selama hampir 3 tahun sejak 2007, akhirnya kelulusan permohonan pembinaan ini dapat diluluskan.Sampailah masanya kita mengorak langkah ke fasa seterusnya yang memerlukan kerjasama semua pihak bagi merealisasikan pembinaan masjid At-Taqwa,Bdr Bukit Mahkota ini. Sama-sama kita berganding bahu ibarat "bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat".
Masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan. Begitu juga dengan sumbangan masyarakat setempat samada ada dari segi harta,tenaga, masa ,idea dan sebagainya amatlah dihargai.

Salam ukhuwah. Moga terjalin ikatan silaturrahim yang erat demi mencapai satu matlamat mendirikan masjid at-taqwa,bdr bukit mahkota.

Lokasi tapak masjid at-taqwa,bdr bukit mahkota,,,,

Dimanakah lokasi tapak masjid At-Taqwa,Bdr bukit mahkota?..
Berikut adalah maklumat yang berkaitan lokasi tersebut.



Juga boleh didapati dengan melayari laman web:
http://www.wikimapia.org/#lat=2.8801761&lon=101.8108177&z=17&l=0&m=b

Saturday, May 1, 2010

Mesyuarat J/kuasa bertindak Pembinaan Masjid At-Taqwa,Bdr bukit mahkota...




Alhamdullilah,mesyuarat jawatankuasa pembinaan masjid bdr bukit mahkota telah diadakan pada Jumaat/30-4-2010 bertempat di rumah pengerusi, hj Khair omar. Mesyuarat ini membincangkan beberapa perkara terutamanya dari segi memperkasakan sturuktur organisasi jawatankuasa, penyelarasan gerakerja & pembukaan akaun bank iaitu Bank Islam sejurus sahaja kelulusan daripada JAIS yang diperolehi pada 19/4/2010.
Insya-allah,sama-sama kita berkerjasama dan mejalin ukhuwah bagi merealisasikan pembinaan masjid at-taqwa,bdr bukit mahkota.

sekian.

Dilaporkan oleh,
Jawatankuasa Pembinaan Masjid At-Taqwa,Bdr Bukit Mahkota.

Blog Archive

Pelan Lokasi Masjid At-Taqwa,Bdr Bukit Mahkota...

Pelan Lokasi  Masjid At-Taqwa,Bdr Bukit Mahkota...